Demi Beri Semangat Kepada Anak Autisme, Ibu Kembalu Duduki SPM

Family & Parenting
23 Nov 2026 • 5:21 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Demi Beri Semangat Kepada Anak Autisme, Ibu Kembalu Duduki SPM

KOTA BHARU - Demi memberikan semangat dan keyakinan kepada anak lelaki autisme, seorang ibu sanggup kembali ke dewan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selepas lebih 20 tahun meninggalkan alam persekolahan.

Pembantu pergigian, Mazlina Abdul Majid, 44, menduduki peperiksaan itu bersama anaknya, Muhammad Adam Daniel Othman, 17, di SMK Kota Bharu tahun ini, sekali gus menjadikan perjalanan akademik mereka sebagai usaha bersama sebuah keluarga.

Mazlina berkata, keputusan untuk menjadi calon SPM dibuat pada Mac lalu, antaranya bagi memberikan dorongan kepada anak sulung daripada empat beradik itu untuk menghadapi cabaran akademik dengan lebih yakin.

Pada masa sama, beliau berharap kelayakan itu dapat membantunya memperoleh kenaikan gred jawatan selepas lebih 20 tahun bekerja dengan hanya menggunakan keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

“Saya mahu memberikan galakan dan sokongan kepadanya supaya dia dapat bersaing dalam bidang akademik serta menghadapi cabaran dengan penuh keyakinan.

“Saya juga mengambil peluang ini untuk meningkatkan kelayakan bagi perkembangan kerjaya. Kami berdua berharap dapat memperoleh keputusan yang baik,” katanya ketika ditemui di sekolah itu hari ini.

Mazlina berkata, persediaan menghadapi peperiksaan sambil bekerja bukan sesuatu yang mudah, terutama apabila perlu mengimbangi tanggungjawab pekerjaan dan keluarga.

Beliau bergantung kepada pembelajaran menerusi YouTube serta bimbingan guru sekolah bagi membuat persediaan selama enam bulan untuk menduduki enam mata pelajaran teras.

Mengakui berasa gementar, Mazlina berkata sukatan pelajaran semasa jauh berbeza berbanding apa yang dipelajarinya lebih dua dekad lalu.

Bagaimanapun, beliau menyifatkan peluang menduduki peperiksaan bersama anaknya sebagai pengalaman cukup bermakna.

Sementara itu, Muhammad Adam Daniel berkata, beliau bersyukur apabila ibunya sanggup berkorban masa dan turut membuat persediaan peperiksaan bersamanya.

“Saya juga belajar bersama ibu sebelum menduduki peperiksaan SPM. Saya bersyukur kerana mempunyai seseorang yang sanggup melakukan perkara ini untuk saya.

“Kami berharap memperoleh keputusan yang baik dan saya bercita-cita menjadi seorang guru,” katanya. - Getaran, 23 November 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved