Cacing Anisaki Dalam Sotong, Doktor Kongsi Cara Nak Hapuskan

Health & FitnessFood
16 Jun 2025 • 3:16 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Cacing Anisaki Dalam Sotong, Doktor Kongsi Cara Nak Hapuskan

Sotong sememangnya antara makanan laut yang digemari ramai di Malaysia. Rasanya yang kenyal dan manis menjadikannya pilihan dalam pelbagai jenis masakan. Walaupun sotong mentah popular di luar negara, rakyat Malaysia lebih suka ia dimasak dahulu. Sotong goreng tepung, sambal sotong dan sotong bakar antara menu yang sentiasa jadi kegemaran.

Namun, tahukah anda sotong boleh mengandungi sejenis parasit bernama cacing Anisaki? Cacing ini ditemui dalam sotong dan juga beberapa spesies ikan. Dalam video tular baru-baru ini, seorang peniaga menunjukkan kewujudan cacing berkenaan yang kelihatan jelas bergerak selepas ditarik keluar daripada perut sotong.

Menurut seorang doktor PhD yang mempunyai kepakaran dalam bidang genetik ikan, Dr Fitri Yusof, cacing ini dinamakan cacing Anisaki.

Cacing Anisaki hidup dalam badan haiwan laut dan berpindah mengikut rantai makanan. Kitaran hidupnya bermula dalam sotong, kemudian berpindah ke ikan, dan ke pemangsa seterusnya.

“Kalau dalam ikan ni biasanya dalam ikan sardin. Sebab tu lah kita tengok sebelum ni ada je viral video dalam ikan sardin pun ada cacing ni,” jelasnya.

Mamalia laut seperti anjing laut dan dolphin juga boleh menjadi perumah kepada cacing ini. Dalam sesetengah kes, manusia boleh dijangkiti jika makan makanan laut yang tidak dimasak.

Jangkitan ini dinamakan anisakiasis dan boleh menyebabkan gejala seperti sakit perut atau muntah. Kes biasanya berlaku apabila seseorang makan sotong atau ikan mentah seperti sashimi.

Menurut doktor berkenaan, walaupun jangkitan jarang membawa maut, ia tetap boleh memudaratkan kesihatan.

Doktor tersebut menjelaskan dua cara utama untuk membunuh cacing Anisaki dan mengelakkan terkena jangkitan anisakiasis. Pertama, makanan laut perlu dimasak pada suhu sekurang-kurangnya 60 darjah Celsius. Paling baik, dimasak sehingga mencapai 100 darjah Celsius bagi memasatikan cacing betul-betul mati.

Cara kedua ialah dengan membekukan sotong atau ikan selama sekurang-kurangnya enam hingga tujuh hari. Namun, proses sejuk beku perlu dilakukan dengan betul untuk memastikan keberkesanannya.

Tambahnya lagi, cacing Anisaki yang ada di dalam perut sotong ini tahan lasak dan tidak mudah mati jika hanya disimpan sejuk untuk seketika. Oleh itu, memasak secara sempurna tetap menjadi langkah paling selamat dan berkesan.

Doktor berkenaan turut mengingatkan supaya mencuci makanan laut dengan bersih sebelum dimasak. Langkah ini penting bagi mengurangkan risiko jangkitan daripada parasit yang tidak disedari.

Mungkin ada yang keliru apabila melihat cacing ini yang tiada beza dengan sperma sotong. Ketika ditanya SK, doktor berkenaan menjelaskan sperma sotong berada di dalam kantungnya yang terasing.

“Sperma (sotong) halus berada di dalam beg sperma. Lebih kurang 5 milimeter hingga 1 sentimeter dan dia tak bergerak macam cacing anisaki. Sperma atau spermatophore ini bersifat lurus, kalau Anisaki tu dia macam kerawit,” jelas beliau.

https://x.com/drfitriyusof/status/1930596625053073445