Cadang Poligami Untuk Wanita Kahwin Lambat, MP Puchong Bidas Kenyataan Tuan Ibrahim

Entertainment
23 Nov 2023 • 4:16 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Setiap orang pasti ada rancangan untuk tamatkan zaman bujang, bezanya cepat atau lambat sahaja dan bukan mudah untuk mencari pasangan hidup yang serasi.

Disebabkan itu, ada yang lewat berkahwin dan cadangan daripada Ahli Parlimen Kubang Kerian Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man telah mendapat pelbagai reaksi pengguna media sosial.

Dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat semalam, Tuan Ibrahim mencadangkan agar kerajaan memberi sokongan moral kepada golongan lelaki untuk berpoligami bagi menyelesaikan masalah wanita yang lewat berkahwin.

“Negara kita ini sensitif soal isu poligami, bila sebut poligami macam buat jenayah. Saya fikir kementerian perlu rasional dalam isu ini di mana bagi mereka yang mampu, ada kelayakan, boleh berlaku adil, satu sokongan moral perlu diberi.

“Kita boleh bayangkan 8.4 juta golongan wanita yang belum kahwin walaupun itu bukan penyelesaian yang muktamad, tetapi perkara ini dapat memberi jalan keluar,” katanya.

Yeo Bee Yin tampil bidas kenyataan Tuan Ibrahim

Namun, Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin membidas kenyataan Tuan Ibrahim yang disifatkan seksis berhubung masalah wanita lambat berkahwin serta galakan berpoligami.

“Kenapa wanita yang tak kahwin adalah masalah? Kenapa wanita lambat kahwin adalah masalah, tapi lelaki lambat kahwin atau tak kahwin bukan masalah?

“Wanita tak berkahwin bukan satu masalah, itu bukan satu masalah yang perlu diatasi,” katanya.

Tambah Yeo, dia menganggap galakan berpoligami sebagai sesuatu yang tidak wajar dan ‘menyinggung hati’ wanita bergelar isteri.

“Apa perasaan mereka apabila ada ahli parlimen yang menggalakkan poligami?” katanya lagi.

Tuan Ibrahim bagaimanapun menegaskan dia tidak akan menarik balik kenyataannya yang dianggap seksis itu.

Sumber: X

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.