
TAWAU: Pelan ekonomi biru kerajaan Sabah berpotensi dimasukkan dalam Belanjawan 2027 bagi mengembangkan sektor berasaskan sumber laut dan membuka peluang ekonomi baharu di negeri ini.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, Sabah mempunyai potensi besar dalam sektor berkenaan yang boleh dimanfaatkan melalui kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan negeri.
“Daripada perancangan yang ada, kita akan berbincang dengan kementerian yang berkenaan bagi memasukkan inisiatif yang baik ke dalam Belanjawan 2027.
“Mungkin beberapa cadangan boleh dibawa ke tahun-tahun akan datang kerana ia menjadi teras dan asas kepada ekonomi biru,” katanya ditemui selepas menghadiri Sesi Libat Urus Menteri Kewangan II bersama Pemain Industri Ekonomi Biru sempena Jelajah Belanjawan 2027 di Hotel Borneo Royale, di sini hari ini.
Jelas beliau, kekayaan sumber laut dan sungai yang dimiliki Sabah memberi potensi besar untuk mengembangkan ekonomi biru sebagai sumber pendapatan baharu kepada negeri.
Katanya, potensi itu bukan sahaja boleh dimanfaatkan menerusi pelancongan berasaskan laut seperti aktiviti menyelam dan ekopelancongan, malah turut meliputi akuakultur, perikanan dan pemprosesan hasil laut bernilai tambah.
“Kalau kita lihat Sabah, negeri ini kaya dengan sumber semula jadi. Bukan sahaja pelancongan berkaitan ekonomi biru, tetapi juga menjana ekonomi daripada sumber laut dan sungai.
“Rumpai laut misalnya, sudah menjadi satu segmen industri eksport baharu di Sabah apabila hasil tanaman pengusaha tempatan diproses sebelum dieksport ke luar negara termasuk China dan United Kingdom,” katanya.
Amir Hamzah berkata, industri berasaskan hasil laut perlu terus dibangunkan supaya produk tempatan dapat diproses di Sabah dan mempunyai nilai jualan yang lebih tinggi.
Katanya, antara sektor yang boleh diberi perhatian ialah perikanan laut dalam yang bukan sahaja mampu meningkatkan hasil negeri, malah membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
“Daripada segi perikanan laut dalam yang boleh dibangunkan dan proses yang lebih bernilai tambah di dalam negeri, pulangan kepada negeri boleh ditingkatkan dan peluang pekerjaan juga dapat dijana dengan lebih baik,” katanya.
Dalam pada itu, Amir Hamzah berkata, Kerajaan Persekutuan turut meneliti keperluan dari segi infrastruktur dan pembiayaan bagi membantu pemain industri mengembangkan sektor ekonomi biru.
Katanya, pandangan pemain industri yang dikumpulkan menerusi Jelajah Belanjawan 2027 penting bagi membantu kerajaan mengenal pasti keutamaan dan inisiatif yang diperlukan untuk mengembangkan sektor berkenaan.
“Kita menerima pandangan pemain industri untuk memberi cadangan kepada Belanjawan 2027 dan inisiatif yang boleh menjadi pemangkin perkembangan ini.
“Kerajaan Persekutuan akan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri dan kementerian berkaitan untuk melihat bagaimana program yang diutarakan dapat direalisasikan,” katanya. – UTUSAN
The post Cadangan ekonomi biru Sabah dipertimbang dalam Belanjawan 2027 appeared first on Utusan Malaysia.


