Cadangan mansuh pencen anggota kabinet tidak munasabah: PM

LocalPolitics
4 Jan 2023 • 4:46 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

PUTRAJAYA: Cadangan untuk memansuhkan atau mengurangkan pencen anggota Kabinet adalah tidak munasabah kerana perkara berkaitan pencen termaktub dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar).

“Ada yang uar-uarkan kononnya Kerajaan Perpaduan ini akan menimbangkan untuk mengurangkan pencen, itu tidak munasabah kerana isu ini soal perlembagaan dan harus diteliti dan dirujuk semua pihak,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Bekas Ahli Parlimen Kangar Noor Amin Ahmad hari ini dilaporkan berkata kerajaan mampu menjimatkan RM100 sehingga RM150 juta perbelanjaan negara setiap tahun sekiranya pencen bekas anggota Kabinet dimansuhkan.

Menurut Noor Amin, berdasarkan sistem semasa negara dan jumlah bekas Kabinet yang layak menerima pencen, kos yang ditanggung untuk menteri, timbalan menteri dan setiausaha parlimen adalah RM100 hingga RM150 juta setahun.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata setakat ini tindakan yang boleh dilaksanakan sebagai langkah penjimatan adalah bekas menteri yang mendapat kemudahan kereta, dibatalkan.

“Setakat ini, (langkah) itu lebih baik (kerana) melibatkan peraturan pentadbiran dan tidak melibatkan Perlembagaan,” katanya.-Bernama