
KUALA LUMPUR 17 Dis – Cadangan Velesto Energy Bhd untuk melupuskan pelantar penggerudian jenis jack-up, Naga 3, dilihat secara positif oleh penganalisis, dengan transaksi itu dijangka menyokong pembayaran dividen kepada pemegang saham.
Velesto telah memeterai perjanjian jual beli (SPA) dengan PT Indonesia Drilling Energy bagi pelupusan pelantar Naga 3 pada harga AS$63 juta.
Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) berkata nilai pelupusan yang dicadangkan itu adalah munasabah dan selari dengan transaksi setara terkini, yang lazimnya dinilai dalam lingkungan US$60 juta hingga AS$70 juta.
Menurut HLIB, sehingga RM251.1 juta daripada hasil pelupusan berkenaan dirancang untuk diagihkan kepada pemegang saham serta digunakan bagi tujuan korporat am.
“Kami melihat langkah ini sebagai faktor yang menyokong pembayaran dividen lebih tinggi, yang berpotensi menterjemahkan kepada dividen sehingga 3 sen sesaham (DPS) pada tahun kewangan 2026 (FY26),” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Menurut firma itu, apabila digabungkan dengan unjuran DPS FY26 sedia ada sebanyak 2.5 sen, jumlah keseluruhan DPS berpotensi mencecah sehingga 5.5 sen, sekali gus menawarkan hasil dividen yang menarik sekitar 20 peratus.
HLIB berkata, pelupusan tersebut dijangka menghasilkan keuntungan pro forma selepas cukai sebanyak RM17.1 juta.
Katanya, anggaran itu adalah berdasarkan pertimbangan pelupusan berjumlah RM258.4 juta selepas mengambil kira nilai buku bersih (NBV) pelantar, kos transaksi yang dianggarkan serta peruntukan luar jangka.
“Bagaimanapun, kami menjangkakan keuntungan akhir pelupusan berkemungkinan hampir kepada paras pulang modal, bergantung kepada penyelesaian item luar jangka serta kos akhir berkaitan pelupusan,” katanya.
HLIB berkata, pihaknya tidak membuat sebarang perubahan terhadap unjuran pendapatan Velesto bagi FY25 hingga FY27, namun telah menyemak semula unjuran DPS FY26 kepada 5.5 sen daripada 2.5 sen bagi mengambil kira potensi peningkatan dividen hasil daripada pelupusan Naga 3.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan “hold” ke atas Velesto dengan harga sasaran tidak berubah pada 24 sen.
“Kami percaya prospek hasil dividen sekitar 20 peratus susulan cadangan pelupusan Naga 3 berpotensi memberi sokongan jangka terdekat kepada harga saham Velesto pada FY26,” tambahnya. - DagangNews.com
