Velesto jual NAGA 3 bernilai RM258.4 juta kepada PT Indonesia Drilling Energy

LocalBusiness & Finance
16 Dec 2025 • 6:10 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Velesto jual NAGA 3 bernilai RM258.4 juta kepada PT Indonesia Drilling Energy
image is not available
liza16/12/2025 - 18:10 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 16 Dis – Velesto Energy Berhad Menandatangani perjanjian jual beli dengan PT Indonesia Drilling Energy bagi penjualan rig penggerudian jenis jack-up, NAGA 3 berharga AS$63 juta (bersamaan RM258.4 juta).

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Velesto berkata, penjualan NAGA 3 yang dibina pada 2010 itu adalah selaras dengan strategi untuk mengoptimumkan armada syarikat dengan fokus kepada rig yang lebih kompetitif dari segi teknikal, selaras dengan kedudukan Velesto sebagai pengendali rig premium. 

 

Presiden Velesto, Megat Zariman Abdul Rahim berkata, jualan NAGA 3 dijangka menghasilkan keuntungan kira-kira RM1.4 juta yang dianggarkan selesai sebelum akhir separuh pertama 2026.

 

 “Penjualan ini membolehkan kami menumpukan perhatian kepada rig premium yang menjadi kelebihan kompetitif Velesto. 

 

“Dengan bergerak ke model lebih ringan dari segi aset, kami meningkatkan kecekapan operasi, mengukuhkan penyata imbangan dan memastikan penggunaan modal di tempat yang memberikan nilai maksimum. 

 

“Hasil daripada penjualan ini akan memperkukuhkan perniagaan penggerudian teras dan menyokong pulangan kepada pemegang saham,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Langkah itu juga membolehkan Velesto meningkatkan fleksibiliti dalam pengurusan armada melalui gabungan struktur pemilikan dan sewaan dengan keutamaan kepada rig yang memenuhi keperluan pasaran semasa.

 

Selepas diambil alih oleh PT Indonesia Drilling Energy, NAGA 3 dijangka digunakan di perairan Malaysia melalui subsidiari TEXCAL Energy, AFED TEXCAL Energy Ventures Sdn Bhd, bagi menyokong operasi eksplorasi dan pengeluaran syarikat itu. 

 

Ia menunjukkan permintaan berterusan terhadap aset penggerudian yang boleh dipercayai di Malaysia dan di rantau ini. - DagangNews.com

Terkini standard