Cadangan pembangunan Carey Island dan Midport tidak jejaskan perluasan PTP – Dewan Rakyat diberitahu

LocalBusiness & Finance
6 Oct 2026 • 2:21 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Cadangan pembangunan Carey Island dan Midport tidak jejaskan perluasan PTP – Dewan Rakyat diberitahu Image from: Cadangan pembangunan Carey Island dan Midport tidak jejaskan perluasan PTP – Dewan Rakyat diberitahu amree06/10/2026 - 14:21 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 6 Okt – Cadangan pembangunan terminal ketiga di Pulau Carey, Selangor dan Midport di Port Dickson, Negeri Sembilan tidak akan menjejaskan rancangan perluasan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di Johor, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

 

Beliau menjelaskan, ketiga-tiga pelabuhan tersebut mempunyai fungsi dan peranan berbeza-beza serta tidak akan bersaing untuk mendapatkan jenis kargo yang sama, sekali gus tiada timbul berlaku isu persaingan sengit antara pelabuhan berkenaan.

 

Ketika menjawab pertanyaan di Dewan Rakyat, beliau memberitahu yang terminal ketiga di Pulau Carey pada peringkat awal hanya akan memberi tumpuan utama kepada operasi pemunggahan jenis kargo am, dan bukannya pengendalian kontena.

 

Sementara itu ujar Loke, pembangunan Midport pula direka bertujuan untuk dapat menyokong aspek pembangunan ekonomi Negeri Sembilan sendiri dan dijangka tidak mempunyai sebarang kapasiti bagi bersaing dengan PTP yang jauh lebih maju.

 

“Justeru, tidak ada isu pelabuhan-pelabuhan ini akan saling menjejaskan antara satu sama lain,” kata beliau dalam sesi soal jawab lisan bersama menteri di Dewan Rakyat.

 

Menurutnya, Kementerian Pengangkutan (MoT) menyokong pembangunan Fasa Kedua PTP dan akan mempercepatkan pelaksanaannya bagi memenuhi permintaan semasa serta memastikan daya saing Malaysia setanding hab pelabuhan serantau yang lain.

 

PTP_DagangNews2026

 

Sehubungan itu, langkah perluasan PTP tambah Loke, dijangka dapat meningkatkan lagi jumlah kapasiti pengendalian kontenanya kepada 48 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) setahun.

 

PTP ketika ini berperanan sebagai hab pemindahan kapal bagi syarikat perkapalan Maersk Line yang berpangkalan di Denmark serta Gemini Cooperation, iaitu kerjasama antara firma logistik maritim, Maersk dan Hapag-Lloyd.

 

"Dalam pada itu, kerajaan turut merancang untuk meningkatkan kapasiti Pelabuhan Klang di Selangor selepas kadar penggunaannya melebihi 73%, dengan pelabuhan berkenaan mengendalikan 15.14 juta TEU sepanjang 2025 lalu," kata beliau.

 

Perluasan terminal kontena Westports yang membabitkan pembangunan dermaga CT10 hingga CT17 pula dijangka meningkatkan kapasiti Westports kepada 28 juta TEU, manakala kapasiti keseluruhan Pelabuhan Klang termasuk Northport meningkat kepada 34.2 juta TEU.

 

Bersama pembangunan terminal ketiga di Pulau Carey, keseluruhan kapasiti Pelabuhan Klang dijangka meningkat kepada 60 juta TEU setahun, sekali gus memperkukuh keupayaan Malaysia memenuhi pertumbuhan permintaan pengendalian kontena. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved