
KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) menyambut baik arahan agar projek infrastruktur kecil seperti baik pulih sekolah dan klinik daif dipindahkan kepada jabatan lain atau pejabat daerah yang disifatkan sebagai langkah baik mengurangkan beban Jabatan Kerja Raya (JKR).
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, langkah itu juga membolehkan JKR memberi fokus kepada pelaksanaan projek infrastruktur yang lebih kompleks seperti pembinaan bangunan hospital, sekolah, jambatan-jambatan besar, pelabuhan dan lebuhraya.
“Cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mahu peluang itu diberikan kepada jabatan lain termasuk pejabat daerah melaksanakan sendiri projek infrastruktur kecil seperti membaiki kerosakan kecil sekolah, klinik, parit kecil dan pembaikan pagar yang tidak melibatkan aspek teknikal yang kompleks serta aspek keselamatan pembinaan.
“Ini sejajar dengan Arahan Perbendaharaan 182 di mana kementerian/jabatan/agensi (KJA) boleh melaksanakan sendiri kerja penyenggaraan membaiki kerosakan kecil yang tidak melibatkan struktur bangunan atau kerja elektrik yang bernilai tidak melebihi RM200,000 dengan mematuhi semua peraturan yang berkuatkuasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pada masa sama, Alexander Nanta berharap projek-projek yang diberikan pelepasan dapat dilaksanakan dengan lancar mengikut amalan terbaik kejuruteraan dan peraturan-peraturan semasa yang berkuat kuasa demi kepentingan rakyat Malaysia Madani.
Semalam, Anwar mengarahkan projek infrastruktur kecil seperti baik pulih sekolah dan klinik daif di bawah seliaan JKR dipindahkan kepada jabatan lain atau pejabat daerah.
Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan semua pegawai daerah pada minggu depan supaya mereka dapat menjalankan tugas pelaksanaan terbabit.
"Saya sudah berbincang dengan Alexander Nanta bahawa projek kerja raya umpamanya sekolah daif, klinik daif, baik pulih tandas, tak perlu lagi dibebankan kepada JKR.
"Pindahkan tugas itu kepada jabatan atau pejabat daerah dan Insya-Allah pada minggu depan, saya akan berjumpa dengan semua pegawai daerah untuk meminta mereka menjalankan tugas pelaksanaan di bawah," katanya.
Anwar berkata, JKR tidak lagi boleh dibebankan kerana jabatan itu mempunyai tanggungjawab besar terutama membabitkan projek seperti lebuh raya dan tebatan banjir. – Getaran, 13 Jun 2023

