Pindah projek kecil beri ruang JKR fokus projek lebih kompleks

13 Jun 2023 • 12:51 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya projek infrastruktur kecil di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) dipindahkan ke jabatan lain akan memberi ruang kepada JKR untuk memberi lebih fokus kepada projek infrastruktur kompleks.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (gambar) berkata pihaknya menyambut baik pengumuman itu dan keprihatinan Perdana Menteri dilihat dapat mengurangkan beban jabatan tersebut.

“Ia sekali gus memberi ruang kepada jabatan ini untuk memberi fokus yang lebih kepada pelaksanaan projek infrastruktur yang lebih kompleks seperti pembinaan bangunan hospital, sekolah, jambatan-jambatan besar, pelabuhan, lebuh raya dan sebagainya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Semalam, Anwar ketika berucap pada majlis perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri bagi bulan Jun 2023 berkata projek-projek infrastruktur kecil seperti membaiki sekolah daif, klinik, parit kecil dan pembaikan pagar yang kini di bawah seliaan JKR, akan dipindahkan ke jabatan lain atau pejabat daerah.

Nanta berkata saranan Perdana Menteri itu dapat memberikan pelepasan kepada kementerian pelanggan bagi melaksanakan sendiri projek infrastruktur kecil yang tidak melibatkan aspek teknikal rumit serta aspek keselamatan pembinaan.

“Ini sejajar dengan arahan di dalam Arahan Perbendaharaan 182 di mana Kementerian/Jabatan/ Agensi (KJA) boleh melaksanakan sendiri kerja-kerja penyelenggaraan membaiki kerosakan kecil yang tidak melibatkan struktur bangunan atau kerja elektrik yang bernilai tidak melebihi RM200,000 dengan mematuhi semua peraturan yang berkuat kuasa.

“Pelaksanaan projek-projek ini juga mengambil kira keupayaan KJA,” katanya.

Beliau juga berharap agar projek yang diberikan pelepasan dapat dilaksanakan dengan lancar mengikut amalan terbaik kejuruteraan dan peraturan-peraturan semasa yang berkuat kuasa, demi kepentingan rakyat Malaysia Madani.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut dilaporkan berkata meskipun projek infrastruktur besar seperti lebuh raya dan tebatan banjir itu penting, tetapi bagi rakyat isu seperti tandas sekolah, parit tepi rumah atau pagar masjid juga penting. -Bernama