Cadangan UMNO tangani kemelut DAP-BN turut terpakai kepada BN - Anthony Loke

LocalPolitics
15 Nov 2026 • 1:32 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Cadangan UMNO tangani kemelut DAP-BN turut terpakai kepada BN - Anthony Loke
Anthony (kanan) pada sidang akhbar selepas Konvensyen Tahunan DAP Johor di Kluang.

KLUANG - Cadangan UMNO berhubung langkah menangani kemelut hubungan DAP dan Barisan Nasional (BN) juga perlu terpakai kepada parti itu sendiri.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, sebarang perbincangan mengenai perjanjian gabungan perlu membabitkan Pakatan Harapan (PH) dan BN kerana perjanjian berkenaan dimeterai antara kedua-dua gabungan.

"Yang pertama saya nak tegaskan juga bahawa perjanjian gabungan itu adalah antara gabungan. Jadi, kalau ada apa-apa perbincangan dan sebagainya, itu antara PH dengan BN.

"BN pun, seperti yang saya katakan, menyatakan banyak ketidakpuasan hatinya melalui media. Banyak pemimpin BN, pemimpin UMNO sendiri yang mengkritik termasuk mengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya pada sidang akhbar selepas Konvensyen Tahunan DAP Johor.

Sebelum itu pada Jumaat, UMNO mengemukakan empat pilihan bagi menangani kemelut hubungan dengan DAP, susulan perbezaan pendirian pengampunan bersyarat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata empat pilihan berkenaan ialah pembubaran Dewan Rakyat, mendapatkan pengantara menerusi majlis perundingan, membenarkan aturan sedia ada diteruskan atau mengkaji semula Perenggan C Perjanjian Gabungan.

Dalam pada itu, Anthony menggesa agar Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) membawa empat cadangan itu kepada kepimpinan BN untuk dibincangkan.

"Apa yang beliau cadangkan kepada kita, patutnya cadang kepada parti beliau juga. Beliau juga patut membawanya kepada meja rundingan antara BN dengan PH.

"Jadi, kalau Datuk Seri Azalina memberikan cadangan tersebut, saya rasa cadangan itu terpakai kepada parti beliau sendiri," katanya.

Pada 16 Disember 2022,Lima gabungan parti utama mencipta sejarah apabila menandatangani perjanjian persefahaman untuk membentuk Kerajaan Gabungan yang dikenali sebagai Kerajaan Perpaduan Malaysia.

Menurut dokumen itu, ia ditandatangani oleh pimpinan kanan dari Pakatan Harapan, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah, dan Parti Warisan.

Sementara itu, dua lagi parti politik, iaitu Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), serta calon-calon Bebas lain akan bersama-sama membentuk Kerajaan Perpaduan Malaysia

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved