‘Kerajaan, Teruskan Reformasi, Jangan Tergesa-Gesa Adakan PRU’ - Loke  

LocalPolitics
15 Nov 2026 • 7:11 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

‘Kerajaan, Teruskan Reformasi, Jangan Tergesa-Gesa Adakan PRU’ - Loke  

KLUANG - Kerajaan perlu memberikan tumpuan kepada pelaksanaan agenda pembaharuan yang masih belum diselesaikan, berbanding melayan desakan supaya Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan lebih awal.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, wajar menggunakan baki tempoh pentadbiran kerajaan untuk merealisasikan pembaharuan penting, khususnya membabitkan aspek perundangan dan tadbir urus negara.

Menurut beliau, usaha itu termasuk meluluskan pindaan Perlembagaan yang dicadangkan serta menggubal undang-undang baharu bagi memastikan sistem pentadbiran lebih berkesan dan pengurusan kewangan negara dapat dipertingkatkan.

“Kerajaan tidak seharusnya mengalihkan perhatian daripada agenda berkenaan semata-mata kerana wujud desakan supaya Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRU.

“Penentuan tarikh pembubaran Parlimen merupakan hak prerogatif Anwar, selagi Perdana Menteri masih memperoleh sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen DAP Johor di sini, hari ini.

Loke berpandangan, tempoh yang masih ada perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya bagi memastikan pembaharuan dirancang dapat dilaksanakan sebelum mandat kerajaan berakhir.

Selain reformasi perundangan, beliau turut menegaskan bahawa usaha memerangi rasuah perlu terus dipergiatkan dan kekal sebagai antara keutamaan kerajaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Loke berkata DAP sudah mula membuat persiapan menghadapi PRU akan datang, namun keutamaan parti ketika ini adalah memastikan persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak pada 12 Disember ini berjalan lancar. - Getaran, 15 November 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved