Cadangan wujudkan Perikatan Barisan Nasional hanya disebut dalam ucapan kempen: Zahid

LocalPolitics
23 Jul 2026 • 3:35 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: Cadangan wujudkan Perikatan Barisan Nasional hanya disebut dalam ucapan kempen: Zahid

KUALA LUMPUR - Cadangan persefahaman kerjasama bagi mewujudkan Perikatan Barisan Nasional (PBN) Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan tidak pernah dibincangkan secara rasmi, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, cadangan berkenaan hanya disebut dalam ucapan kempen sahaja.

"Sebaiknya adakan perbincanganlah. Kita 'formalize' (lakukan secara rasmi) lah kalau itu serius cadangannya.

"Tetapi kalau setakat kempen saja, saya fikir harus diperincikanlah cadangan berkenaan," katanya, lapor BH.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Mesyuarat Pelarasan antara KKDW bersama Exco-exco luar bandar (MEXCLUB) ke-61 Bilangan 1 2026 di Balik Pulau, Pulau Pinang, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Presiden Parti Wawasan Negara, Datuk Seri Hamzah Zainudin mencadangkan supaya pakatan pilihan raya BN-PN bagi Negeri Sembilan dinamakan sebagai Perikatan Barisan Nasional.

Menurut Hamzah, cadangan nama tersebut dibuat bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

Beliau berkata, PN-BN mungkin sukar disebut oleh sesetengah pihak, manakala PBN lebih ringkas dan mudah difahami oleh pengundi.

Bagaimanapun beberapa pemimpin Umno dilihat kurang senang dengan istilah Perikatan Barisan Nasional yang dicadangkan oleh Hamzah berhubung persefahaman pilihan raya bagi PRN Negeri Sembilan.

Antaranya Naib Presiden Umno, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang menyifatkan istilah tersebut tidak relevan kerana kerjasama berkenaan tidak membawa kepada pembentukan gabungan baharu, lapor Sinar Harian.

Sebaliknya, beliau berkata hubungan antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) hanyalah bagi menghadapi pilihan raya negeri yang akan datang.

Sementara Setiausaha Agung Umno, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki pula berkata kepimpinan BN tidak pernah membincangkan atau meluluskan penggunaan label tersebut.

“Perikatan Barisan Nasional adalah kenyataan beliau sendiri. Pemimpin kami tidak pernah bersetuju dengan perkara ini. Ia lebih kepada kerjasama, mewujudkan persefahaman, mengurangkan pertembungan dan memenangi pilihan raya negeri bersama-sama," katanya. - 23 Julai, 2026

The post Cadangan wujudkan Perikatan Barisan Nasional hanya disebut dalam ucapan kempen: Zahid appeared first on Scoop.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved