Cadangan wujudkan semula NTF kekang kemasukan PATI

LocalPolitics
14 Sep 2026 • 3:06 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Cadangan wujudkan semula NTF kekang kemasukan PATI

KUALA LUMPUR: Operasi bersepadu melibatkan pelbagai agensi keselamatan di negara ini perlu diwujudkan dengan fungsi seumpama Pasukan Petugas Khas (NTF) dalam usaha mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman berkata, pendekatan tersebut penting bagi meningkatkan kerjasama khususnya dalam aspek perkongsian maklumat serta penggunaan aset antara semua agensi yang terlibat

Katanya, setakat ini perkara berkenaan telah dibincangkan dalam Jawatankuasa Pengurusan Gerakan Kebangsaan (JPGK) dipengerusikannya bersama Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd. Khalid Ismail, membabitkan agensi berkaitan seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

“Setakat ini, usul berkenaan juga telah dimajukan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan terpulang kepada MKN untuk membawa cadangan tersebut ke peringkat kerajaan bagi pertimbangan dan pelaksanaan,” katanya pada Sesi Temubual Khas Panglima Angkatan Tentera sempena Hari ATM Ke-93 di Wisma Pertahanan hari ini.

Menurut Malek Razak, pendekatan seperti NTF yang pernah dilaksanakan sebelum ini terbukti berkesan dan wajar dipertimbangkan untuk diaktifkan semula walaupun bukan dalam skala yang besar.

NTF melibatkan gabungan 18 agensi kerajaan termasuk ATM dan PDRM serta agensi lain dibubarkan secara rasmi pada 31 Disember 2022.

Beliau dalam pada itu berkata, ATM tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan sempadan dan akan terus menahan individu yang dikesan memasuki negara melalui kawasan di bawah tanggungjawab pasukan berkenaan.

“Bagi kawasan yang berada di bawah tanggungjawab Angkatan Tentera, Insya-Allah, kita kawal 24 jam sehari, tujuh hari seminggu (24/7).

“Jika masih berlaku kebocoran, ia disebabkan oleh jurang tertentu. Mereka ini juga mempunyai strategi dan ejen masing-masing,” katanya. – UTUSAN

The post Cadangan wujudkan semula NTF kekang kemasukan PATI appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved