
CAF Lucut Gelaran Senegal, Isytihar Maghribi Sebagai Juara Afrika
Senegal secara mengejut dilucutkan status juara Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) selepas Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF) mengisytiharkan Maghribi sebagai juara, lapor AFP.
Insiden tercetus apabila beberapa pemain Senegal bertindak keluar padang di Rabat pada 18 Januari sebagai tanda protes terhadap keputusan pengadil yang menghadiahkan sepakan penalti kepada pasukan tuan rumah pada penghujung masa kecederaan separuh masa kedua.
Selepas kembali beraksi, Maghribi gagal memanfaatkan sepakan penalti tersebut sebelum Pape Gueye menjaringkan gol dalam masa tambahan, sekali gus menghadiahkan kemenangan 1-0 dalam perlawanan akhir.
Bagaimanapun, CAF dalam kenyataannya memaklumkan bahawa selepas meneliti rayuan dikemukakan Maghribi, pasukan kebangsaan Senegal disahkan tewas tanpa bermain (forfeit), dengan keputusan rasmi direkodkan sebagai kemenangan 3-0 berpihak kepada Maghribi.
Menurut AFP, Jawatankuasa Rayuan CAF menjelaskan bahawa keputusan tersebut dibuat berdasarkan Artikel 82 dan 84 peraturan AFCON.
Ia menetapkan bahawa mana-mana pasukan yang enggan meneruskan permainan atau meninggalkan padang sebelum perlawanan tamat akan dianggap tewas dan disingkirkan daripada kejohanan.
Penyokong Senegal cuba menceroboh padang
Persekutuan Bola Sepak Diraja Maghribi (FRMF) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa rayuan yang dikemukakan bukan bertujuan mempertikaikan prestasi mana-mana pasukan, sebaliknya bagi memastikan peraturan pertandingan dipatuhi sepenuhnya.
“Mereka turut menegaskan komitmen untuk menghormati peraturan, kejelasan struktur pertandingan serta kestabilan bola sepak Afrika,” menurut kenyataan tersebut.
Beberapa minit sebelum wisel penamat, penyokong Senegal dilaporkan cuba menceroboh padang, manakala pemain pasukan itu menghentikan permainan hampir 20 minit sebagai bantahan terhadap sepakan penalti lewat yang diberikan kepada Maghribi.
Penalti kontroversi tersebut dianugerahkan oleh pengadil dari Congo, Jean-Jacques Ndala, selepas semakan VAR terhadap insiden kekasaran ke atas Brahim Diaz oleh El Hadji Malick Diouf.
Brahim Diaz berpeluang menghadiahkan kejuaraan kepada Maghribi menerusi sepakan penalti pada minit ke-24 masa kecederaan, namun percubaannya digagalkan penjaga gol Senegal, Edouard Mendy, selepas cuba melakukan sepakan ‘Panenka’.
Perlawanan di Stadium Prince Moulay Abdellah kemudian berlanjutan ke masa tambahan sebelum jaringan menarik Pape Gueye pada minit ke-94 memastikan kemenangan 1-0 Senegal.
Keputusan Jawatankuasa Rayuan CAF boleh dirayu ke Mahkamah Timbang Tara Sukan dalam tempoh 10 hari.
Baca juga: