CAFA Kesal FAM Tarik Diri, Nafi Perubahan Tarikh Kejohanan
Persatuan Bolasepak Asia Tengah (CAFA) meluahkan rasa kesal susulan tindakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menarik diri secara rasmi daripada menyertai Kejohanan Piala CAFA 2025.
Menurut kenyataan rasmi CAFA, penyertaan Malaysia telah disahkan lebih awal dengan pemahaman penuh terhadap tarikh kejohanan yang ditetapkan iaitu dari 29 Ogos hingga 8 September 2025.
CAFA turut menegaskan bahawa tarikh kejohanan tersebut tidak pernah berubah sejak dari awal.
Namun, penarikan diri FAM yang dibuat pada saat akhir telah mengganggu proses penganjuran yang sedang berlangsung, khususnya ketika persiapan dan perancangan telah memasuki fasa akhir.
“FAM menyatakan bahawa keputusan tersebut dibuat kerana kejohanan ini tidak sepenuhnya termasuk dalam kalendar perlawanan antarabangsa FIFA, dan oleh itu, pelepasan pemain mungkin terhad.
“Namun begitu, berdasarkan peraturan kejohanan, pendaftaran akhir pemain yang dipilih daripada senarai awal 35 orang pemain boleh dibuat mengikut perlawanan.
“Ini memberi ruang maksimum untuk fleksibiliti, termasuk kemungkinan pemain utama menyertai pasukan bagi perlawanan seterusnya,” tegas CAFA.
Dalam pada itu, meski berdepan cabaran, CAFA tetap komited untuk menganjurkan kejohanan yang kompetitif dan berkualiti tinggi demi penyokong bola sepak di Asia Tengah dan seluruh dunia.
CAFA turut merakamkan penghargaan kepada semua negara yang kekal memberikan sokongan dan kerjasama penuh terhadap kejohanan ini.
The post CAFA Kesal FAM Tarik Diri, Nafi Perubahan Tarikh Kejohanan appeared first on Siakap Keli.



