Cafe Chef Wan perkenal Nasi Lemak 'Wan' Malaysia sempena Hari Kemerdekaan

Food
17 Aug 2023 • 11:21 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Cafe Chef Wan perkenal Nasi Lemak 'Wan' Malaysia sempena Hari Kemerdekaan

zulfadli

17/08/2023 - 11:21

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Membawakan rasa, perpaduan dan warisan ke meja makan, Cafe Chef Wan memperkenalkan Nasi Lemak 'Wan' Malaysia (yang bermaksud ‘satu’ Malaysia) sebagai penghormatan kepada Hari Kemerdekaan bulan ini.

Hidangan itu boleh didapati untuk tempoh terhad bermula pada 17 Ogos hingga 17 September 2023.

Menu tersebut direka dengan elegan dengan menggabungkan pelbagai budaya makanan Malaysia, menghasilkan nasi lemak bertemakan merdeka yang istimewa.

Hidangan ini menyerlahkan gabungan budaya yang harmoni, melambangkan perpaduan dan kepelbagaian Malaysia.

Diiktiraf sebagai khazanah masakan Malaysia, nasi lemak yang digemari ramai ini mempunyai legasi yang tiada tolok tandingannya dengan kepedasannya, keasliannya dan merupakan hidangan yang ada di mana-mana.

Untuk kenikmatan maksimum, sempena bulan kemerderkaan ini, cef selebriti antarabangsa, Datuk Redzuawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Chef Wan telah mengolah semula hidangan itu dengan sentuhan kontemporari.

Dengan aroma segar dari beras wangi yang dimasak dengan santan dan daun pandan, hidangan ini digandingkan dengan Udang Harimau Masak Cili Manis dan Pedas Cina, Sambal Sotong Melayu buatan sendiri yang sungguh aromatik, Ayam Masak Halia Hutan Tuhau Kadazan-Dusun, dan Pakora Goreng Rangup India.

image is not available

Hasilnya, hidangan lazat untuk dua orang ini menawarkan keseimbangan daripada pelbagai citarasa berbeza - ada yang panas, ada yang lembut, ada yang masam dan ada yang manis.

Dengan padanan tekstur yang sempurna, semua cawangan Cafe Chef Wan, kecuali Cafe Chef Wan Petit, akan menawarkan hidangan tanda muhibbah dan perpaduan ini.

Dengan harga RM66++, beberapa pilihan tersedia sama ada makan di restoran, bawa pulang dan juga melalui penghantaran.

Chef Wan berkata, Nasi Lemak 'Wan' Malaysia lebih daripada sekadar hidangan; ia adalah perayaan budaya, perpaduan dan perjalanan negara ini.

image is not available
Chef Wan

"Melalui visi masakan inventif Café Chef Wan, kami sangat teruja untuk menawarkan rasa warisan Malaysia yang kaya dengan pelbagai budaya.

"Merdeka ini, kami menjemput semua rakyat untuk bersama kami merasai pengalaman kulinari yang mencerminkan kepelbagaian negara kita yang meriah dan komitmen kami terhadap kecemerlangan dalam menghidangkan makanan kepada pelanggan," katanya dalam kenyataan media di sini.

Dibawakan secara eksklusif untuk merdeka tahun ini, Cafe Chef Wan, rangkaian restoran di bawah Syarikat Restoran Chef Wan juga menawarkan satu kaunter khas untuk menyajikan menu antarabangsa yang diinspirasikan melalui pengembaraan Chef Wan.

Di samping itu, Chef Wan secara peribadi telah mencipta menu eksklusif ini bertepatan dengan sambutan Hari Merdeka dan Hari Malaysia, bagi menyerlahkan makanan istimewa adat dan menghormati warisan budaya Malaysia yang kaya melalui gastronomi.

image is not available

Tempahan kini dibuka untuk mereka yang ingin merasai kelazatan Nasi Lemak 'Wan' Malaysia dan menjadi sebahagian daripada menu perayaan gemilang ini.

Merdeka ini, Cafe Chef Wan menawarkan pelanggannya peluang untuk merasai rasa warisan budaya Malaysia sambil meraikan kemerdekaan dan perpaduan negara yang indah.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web Cafe Chef Wan di www.cafechefwan.my dan dapatkan ganjaran dengan memuat turun aplikasi chef selebriti pertama di Malaysia, Chef Wan Cooks.

image is not available

Direka bentuk untuk meningkatkan pengalaman makan pelanggan Cafe Chef Wan, aplikasi itu juga mempunyai ciri seperti mengesan pengumpulan mata, penebusan makan, prapesanan dalam talian, ganjaran eksklusif, maklum balas dan banyak lagi. - DagangNews.com