Cahya Mata Sarawak berpotensi raih manfaat langsung daripada projek infrastruktur berskala besar - MBSB Research

LocalBusiness & Finance
21 Aug 2025 • 4:37 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Cahya Mata Sarawak berpotensi raih manfaat langsung daripada projek infrastruktur berskala besar - MBSB Research

image is not available

21/08/2025 - 16:37

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Ogos - Pelaksanaan projek infrastruktur berskala besar di Sarawak dijangka memberi lonjakan ketara kepada aliran kerja pembinaan di negeri itu, sekali gus meletakkan Cahya Mata Sarawak Berhad (CMSB) dalam kedudukan strategik untuk meraih manfaat secara langsung.

MBSB Research berkata, sebagai satu-satunya pengeluar simen di Sarawak dan pembekal utama kepada pelbagai projek pembinaan di negeri itu, CMSB dijangka menjadi penerima utama limpahan kontrak dan permintaan bahan binaan apabila projek-projek seperti jalan raya, jambatan, pusat konvensyen, dan kemudahan awam dimulakan dalam tempoh terdekat.

Katanya, CMSB juga telah berjaya memperoleh projek bernilai RM550 juta iaitu pembinaan Pusat Konvensyen Borneo Kuching II, yang kini telah memasuki fasa pembinaan.

Firma penyelidikan itu berkata, projek itu dijangka menyumbang secara bermakna kepada prestasi kewangan kumpulan dalam beberapa suku akan datang.

"Selain itu, CMSB sedang giat memperluaskan kapasiti pengeluarannya menerusi pembinaan Clinker Line 2 di Mambong, yang dijangka meningkatkan kecekapan kos dan margin keuntungan kumpulan dalam jangka masa panjang.

"Pembangunan ini bakal meningkatkan kapasiti simen tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada import bahan mentah," katanya dalam satu nota kajian.

Walaupun prestasi kewangan CMSB bagi suku kedua tahun kewangan 2025 (2QFY25) mencatatkan penurunan berikutan permintaan yang lembap dan faktor cuaca, MBSB Research kekal optimis terhadap prospek jangka panjang kumpulan.

Katanya, CMSB kini disokong oleh pelbagai pemangkin struktur termasuk pengkomersialan kilang fosfat di Samalaju yang dijangka bermula pada suku keempat tahun ini.

Dengan kedudukan pasaran yang kukuh di Sarawak dan potensi peningkatan permintaan akibat pelancaran projek infrastruktur besar, CMSB dilihat bersedia untuk kembali mencatat pertumbuhan mampan pada tahun-tahun mendatang.

"Kami mengekalkan saranan "beli" ke atas saham CMSB dengan harga sasaran (TP) RM1.49 sesaham," katanya. - DagangNews.com

standard