Sektor binaan dijangka meningkat pada separuh kedua 2025 disokong projek infrastruktur awam - MBSB Investment

15/08/2025 - 15:26
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 15 Ogos – Sektor binaan dijangka mencatat peningkatan aliran kerja pada separuh kedua 2025, didorong oleh pelaksanaan berperingkat projek infrastruktur utama sektor awam, kata MBSB Investment Bank Bhd.
MBSB Investment berkata, beberapa projek industri kini giat dijalankan seperti Laluan Transit Ringan (LRT) Mutiara di Pulau Pinang dan pembangunan pusat data, sejajar dengan pelan pembangunan infrastruktur awam jangka panjang di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Projek LRT Pulau Pinang telah dimulakan secara rasmi manakala pengambilan tanah bagi Laluan Rel Berkelajuan Tinggi 3 (MRT3) sedang dijalankan, membuka peluang bagi bahagian kerja awam bernilai RM31 bilion dalam saluran projek.
“Permintaan bagi pembangunan pusat data juga kekal kukuh dengan kontraktor terus memperoleh kelulusan projek berskala besar sebagai sebahagian daripada ledakan infrastruktur digital Asia Tenggara, yang disokong oleh aktiviti penyewaan yang mantap, daya saing kos dan kerjasama jangka panjang dengan pelanggan,” kata MBSB Investment dalam nota kajiannya.
Perkembangan itu adalah satu petunjuk positif meskipun sektor binaan menghadapi cabaran pada separuh pertama 2025, yang berpunca daripada kelewatan pelaksanaan projek dalam saluran serta ketidaktentuan perdagangan global.
MBSB Investment mengekalkan pendirian ‘positif’ bagi sektor ini, merujuk kepada gabungan tekanan kos yang semakin reda, permintaan sektor swasta yang mantap, serta peningkatan pelaksanaan projek awam.
"Harga besi bar terus menurun 9.91 peratus sejak awal tahun dan harga simen pula kekal stabil hasil pengeluaran domestik yang terkawal.
“Gabungan keadaan kos yang lebih baik, pelonggaran kekangan tenaga kerja secara berperingkat dan kemampuan memindahkan kos berkaitan Cukai Jualan dan Perkhidmatan serta tarif terus menyokong keuntungan projek yang sedang berjalan," katanya. - DagangNews.com
standard



