
KUALA LUMPUR - Caj RM1 yang dikenakan untuk pengeluaran antara bank menggunakan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) disifatkan tidak berasas sama sekali.
Menegaskan perkara itu, Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berkata, caj terbabit hanya menambah beban 85 peratus pengguna berpendapatan rendah yang ada di Malaysia.
Menurut beliau, isu terbabit telah dibincangkan secara mendalam bersama pegawai dari Kementerian Kewangan.
“Mereka juga bersetuju bahawa caj tersebut tidak dapat diterima disebabkan oleh keuntungan besar yang diperoleh bank-bank Malaysia tahun lepas, selain memberi tekanan lebih besar terhadap golongan B40 dan M40 di negara ini.
“Bank-bank ini memperoleh keuntungan besar, ada yang mencecah berbilion ringgit, pada 2024, sama seperti tahun-tahun sebelum, justeru adalah wajar untuk mereka menanggung caj terbabit,” katanya.

Tegas Setiausaha DAP itu, mengenakan caj terbabit ke atas pengguna jelas satu ketidak-adilan dan ia tidak seharusnya diteruskan.
Beliau menarik perhatian, pihaknya sedang merangka semua soalan diperlukan yang akan dikemukakan pada sidang Dewan Rakyat Februari depan.
“Biarlah perkara ini dibincangkan dan dibahaskan di Dewan Rakyat, dan diharapkan kita dapat mencapai kesimpulan untuk kebaikan rakyat Malaysia,” katanya.
Selain Lip Eng, isu caj RM1 itu juga pernah dibangkitkan bulan lalu oleh Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Khin.
Beliau dipetik sebagai berkata, caj RM1 untuk pengeluaran antara bank telah menimbulkan kebimbangan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah.
“Monopoli dan kartel (merujuk kepadaPayNet dan pemegang sahamnya) boleh menyebabkan kos yang lebih tinggi, pilihan yang terhad, dan pengurangan inovasi bagi pengguna. Faktor-faktor ini akhirnya merendahkan kualiti perkhidmatan kewangan dan mewujudkan ketidaksempurnaan pasaran yang merugikan pengguna.
“Mempromosikan persaingan dan membina landskap kewangan yang lebih pelbagai akan memberi manfaat kepada pengguna dengan memastikan harga yang adil, menggalakkan inovasi dan meningkatkan tawaran perkhidmatan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, laporan Asian Banking & Finance menyatakan bahawa Maybank mencatatkan keuntungan bersih, iaitu peningkatan sebanyak 8.5 peratus berbanding tahun lepas (YoY) kepada hampir RM7.56 bilion dalam sembilan bulan pertama tahun kewangan 2024, didorong oleh peningkatan keuntungan dalam tempoh suku ketiga.

Sementara itu, CIMB Group Holdings Bhd mencatatkan kenaikan keuntungan bersih sebanyak 12.56 peratus berbanding tahun lepas (YoY) kepada RM5.93 bilion, sementara pendapatan bersihnya adalah RM16.97 bilion, peningkatan sebanyak 8.52 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya, bagi sembilan bulan pertama 2024.
Public Bank Bhd pula mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM5.35 bilion, meningkat 6 peratus daripada RM5.03 bilion untuk sembilan bulan yang berakhir 30 September lalu, berbanding tempoh yang sama pada 2023.
Hasil pendapatan bank terbabit juga meningkat 7.6 peratus kepada RM20.20 bilion daripada RM18.87 bilion tahun sebelumnya.
Bagi RHB Bank Berhad, keuntungan bersih mereka melonjak kepada RM833.19 juta dalam suku ketiga berakhir 30 September 2024 (3Q FY2024) berbanding RM649.95 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas disebabkan oleh peningkatan jumlah pendapatan dan kerugian kredit yang dijangkakan lebih rendah (ECL).
Hasil pendapatan RHB turut meningkat kepada RM4.51 bilion daripada RM4.22 bilion sebelumnya. - Getaran, 17 Januari 2025

