Cakap dalam mesyuarat Kabinet kalau tak puas hati – Anwar

LocalPolitics
5 Nov 2026 • 8:39 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Cakap dalam mesyuarat Kabinet kalau tak puas hati – Anwar

MELAKA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur rakan dalam Jemaah Menteri yang menyerang kerajaan ketika berkempen, sedangkan mereka turut berada dalam Kabinet.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, sebarang perbezaan pandangan atau ketidakpuasan hati sepatutnya disuarakan dalam mesyuarat Kabinet dan bukannya dijadikan bahan serangan ketika berkempen.

“Ini kawan-kawan saya dalam kerajaan. Dia mari kempen, dia serang kerajaan.

“Tapi dalam kerajaan, dia Timbalan Perdana Menteri ada, menteri itu, menteri ini ada.

“Kalau apa setuju, tak setuju, cakap dalam Kabinet. Esok pagi, pukul 9 pagi mesyuarat. Pukul 9 sampai 12.30, tiga jam, cakaplah!,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera DAP Melaka di sini, hari ini.

Anwar berkata, tindakan berterus terang merupakan sebahagian daripada politik baharu yang perlu diamalkan bagi mengelakkan pertelingkahan berterusan.

Katanya, perselisihan politik tidak seharusnya menyebabkan hubungan antara masyarakat terjejas khususnya dalam negara yang mempunyai kepelbagaian kaum dan agama.

“Ini politik baharu kita. Kalau tidak, tuan-tuan gaduh saja. Ini bukan Melayu sama Cina saja, sesama Melayu pun tengok,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa kestabilan negara perlu dipelihara dengan mengelakkan politik kebencian yang boleh mencetuskan perpecahan dalam kalangan rakyat.

Katanya, kerjasama pelbagai pihak dalam kerajaan penting bagi memastikan keamanan negara terus terpelihara dan membolehkan pembangunan dilaksanakan untuk kepentingan semua kaum.

Tambahnya, usaha memperkukuh PH di Melaka juga bertujuan memastikan negara terus stabil dan rakyat dapat hidup dalam keadaan aman.-UTUSAN

 

The post Cakap dalam mesyuarat Kabinet kalau tak puas hati – Anwar appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved