Kabinet Kekal Badan Tertinggi Tentukan Dasar, Pendirian Kerajaan - PM 

LocalPolitics
5 Nov 2026 • 2:28 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Kabinet Kekal Badan Tertinggi Tentukan Dasar, Pendirian Kerajaan - PM 

KUALA LUMPUR - Sebarang perbezaan pandangan antara kementerian tidak bermakna kerajaan berdepan perpecahan, sebaliknya ia sebahagian daripada proses perbincangan sebelum sesuatu dasar diputuskan di peringkat Kabinet.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kabinet mempunyai kuasa muktamad dalam membuat keputusan kerajaan secara bersama, khususnya bagi perkara yang memerlukan persetujuan seluruh Jemaah Menteri.

Menurut beliau, setiap cadangan dasar perlu diteliti dan diselaraskan terlebih dahulu sebelum dibawa ke Kabinet untuk pertimbangan serta kelulusan, selaras dengan prinsip tanggungjawab kolektif Jemaah Menteri.

Beliau menjelaskan demikian ketika menjawab persoalan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) mengenai perbezaan kenyataan antara Kementerian Kewangan dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah berhubung isu perbezaan angka perbelanjaan Program Jalan Luar Bandar (JALB) yang mencecah RM2.1 bilion.

Hamzah turut mempersoalkan pihak yang mempunyai kuasa menentukan pendirian rasmi kerajaan berhubung isu berkenaan.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, perbezaan pendekatan antara kementerian perlu dilihat dalam konteks tanggungjawab dan bidang kuasa masing-masing, termasuk keutamaan yang perlu diberi perhatian bagi memastikan agenda Kerajaan MADANI dapat dilaksanakan dengan berkesan.

“Penyelarasan rentas kementerian akan terus diberi perhatian bagi memastikan pelaksanaan dasar tidak bertindih.

“Setiap keputusan juga perlu mengambil kira kepentingan rakyat, keperluan pembangunan negara dan kedudukan kewangan kerajaan,” katanya. 

Dalam jawapan bertulis di Parlimen, Perdana Menteri berkata, kerajaan komited memastikan urusan penyelarasan antara kementerian berjalan secara teratur demi menjamin keseragaman dasar serta mengelakkan pertindihan tanggungjawab.

Isu perbezaan RM2.1 bilion itu timbul apabila perbelanjaan sebenar JALB bagi tempoh 2023 hingga 2025, iaitu RM6.108 bilion, dibandingkan dengan peruntukan asal sebanyak RM3.982 bilion tanpa mengambil kira pelarasan peruntukan yang dibuat kemudian.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan, perbezaan angka berkenaan bukan disebabkan kehilangan dana atau berlaku penyelewengan.

Anwar menambah, kerajaan akan terus mempergiat pemantauan terhadap perkembangan ekonomi, memperkemas kerjasama antara kementerian dan menilai keberkesanan pelaksanaan dasar bagi memastikan manfaatnya dapat dirasai rakyat secara berterusan. - Getaran, 5 November 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved