Cakap sembarangan, LOD menanti

LocalPolitics
29 Jul 2026 • 7:20 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Cakap sembarangan, LOD menanti
Hantaran Facebook Muhammad Sanusi dan Asyraf Wajdi berkaitan LOD masing-masing.

MEDIA sosial membuka ruang kepada semua orang untuk bersuara, namun kebebasan itu datang bersama tanggungjawab.

Jika dahulu kata-kata mungkin terhenti dalam kelompok kecil, kini satu hantaran atau komen boleh tersebar kepada ribuan, malah jutaan orang dalam beberapa minit.

Sebab itu, semakin ramai tokoh awam memilih menggunakan Letter of Demand (LOD) bagi mempertahankan reputasi apabila berdepan dakwaan atau fitnah yang disifatkan tidak berasas.

Pada Selasa, sekurang-kurangnya dua pemimpin tampil mengambil tindakan sedemikian.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memulakan tindakan menghantar LOD melalui pasukan peguamnya kepada pihak yang didakwa memutarbelitkan kenyataannya berkaitan isu sejarah dalam ucapan yang disampaikan di Negeri Sembilan baru-baru ini.

Menurut Muhammad Sanusi, lebih ramai individu berada dalam senarai untuk menerima LOD sekiranya didapati melakukan tindakan sama, termasuk memutarbelitkan, menokok tambah dan mengulas kenyataannya di luar konteks sebenar.

Pada hari yang sama, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki turut menghantar LOD atau Notis Tuntutan saman ganti rugi RM5 juta kepada dua individu yang didakwa memfitnahnya berhubung isu Lembaga Tabung Haji (TH).

Walaupun kedua-dua kes melibatkan isu yang berbeza, mesej yang dibawa hampir sama, iaitu kenyataan yang dianggap memfitnah atau memesongkan fakta tidak lagi dibiarkan tanpa tindakan.

Masih ada yang menganggap LOD sekadar surat biasa yang boleh diabaikan dan tidak membawa sebarang kesan.

Hakikatnya, ia merupakan notis rasmi daripada peguam yang memberi peluang kepada pihak yang dituntut untuk menarik balik kenyataan, memohon maaf atau menyelesaikan pertikaian sebelum saman difailkan di mahkamah.

Jika gagal dipatuhi, LOD lazimnya menjadi langkah pertama ke arah prosiding saman fitnah.

Hal ini membuktikan LOD bukan sekadar surat amaran, sebaliknya isyarat bahawa pihak yang terjejas bersedia mempertahankan nama baik mereka melalui saluran undang-undang jika perlu.

Justeru, masyarakat perlu lebih berhati-hati sebelum mengulas atau menekan butang kongsi, sekali gus memastikan maklumat disemak, sumbernya sahih dan setiap dakwaan disokong oleh fakta.

Dalam dunia digital hari ini, satu ayat yang ditaip tanpa berfikir mungkin hanya mengambil masa beberapa saat, tetapi kesannya boleh berpanjangan.

Jangan sampai kerana cakap, tulis atau berkongsi secara sembarangan, LOD menanti.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved