
PETALING JAYA: Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki akan mengambil tindakan undang-undang terhadap dua individu yang didakwa memfitnah dan mengaitkannya dengan isu Lembaga Tabung Haji (TH).
Asyraf Wajdi berkata, peguamnya, Datuk Adnan Seman telah diarah mengeluarkan surat tuntutan (LOD) kepada Ahli Majlis Pimpinan Nasional Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Dr. Ismail Salleh dan pemilik akaun media sosial Abied Abdullah, Habin Faisal Mohamed.
Katanya, LOD itu menuntut kedua-dua pihak memohon maaf, menarik balik kenyataan, memberikan aku janji serta membayar ganti rugi berjumlah RM5 juta.
“Saya telah mengarahkan peguam mengeluarkan surat tuntutan terhadap kedua-dua individu berkenaan yang memfitnah, mengaibkan, menjatuhkan reputasi dan cuba mengaitkan saya dengan isu TH.
“Sekiranya mereka gagal memenuhi tuntutan tersebut, saman akan difailkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Asyraf berkata, sekiranya memenangi saman fitnah berkenaan, semua wang ganti rugi yang diterima akan disalurkan kepada Yayasan Pelajaran Mara.
“Setiap sen yang diperoleh akan digunakan bagi membantu anak-anak pelajar miskin dan kurang berkemampuan meneruskan pengajian,” katanya.
Sementara itu, Abied Abdullah menerusi hantaran di Facebook mempertahankan kenyataannya dan mendakwa perkara yang ditulis berkaitan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH merupakan fakta yang diketahui umum.
“Apa yang saya tulis berkaitan RCI TH adalah fakta yang diketahui umum dan apa yang saya nyatakan adalah ulasan wajar. Kalau tidak terlibat, kenapa perlu melenting?
“Kalau Dr. Asyraf Wajdi berani, jom debat mengenai ‘Siapa Pegang Kunci TH 2014-2018?’. Sediakan pentas di Negeri Sembilan sekarang dan kita berdebat,” katanya. – UTUSAN
The post Asyraf Wajdi saman dua individu, tuntut ganti rugi RM5 juta appeared first on Utusan Malaysia.






