Calon Ketua Pembangkang sudah ada - Mohd Amar

LocalPolitics
9 Apr 2026 • 4:13 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mohd Amar

KOTA BHARU - Perikatan Nasional (PN) sudah mempunyai calon Ketua Pembangkang dan hanya menunggu ia dimuktamadkan sebelum diumumkan secara rasmi.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, kelewatan pengumumannya tidak harus dilihat secara negatif memandangkan ia bukan keperluan mendesak pada ketika ini.

“Memang sudah ada dua, tiga nama calon, cuma belum dimuktamadkan.

“Keperluan itu tidak begitu mendesak kerana Parlimen pun belum bersidang dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis Aidilfitri di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan kononnya kelewatan melantik Ketua Pembangkang memberi gambaran kurang baik terhadap kepimpinan negara.

Mohd Amar bagaimanapun tidak memberi perincian atau mengesahkan nama yang disebut-sebut bakal mengisi jawatan berkenaan termasuk Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Saya tak tahu sebab bukan saya yang buat keputusan.

“Kita tunggu sahaja pengumuman rasmi nanti,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menyentuh mengenai penilaian prestasi wakil rakyat Pas di Kelantan yang lazimnya dilaksanakan oleh jawatankuasa khas di peringkat perhubungan negeri.

Menurutnya, penilaian tersebut kebiasaannya dilakukan selepas dua hingga tiga tahun penggal bagi menilai prestasi semasa sebelum sebarang tindakan lanjut diambil oleh kepimpinan negeri.

“Keputusan kajian itu akan dibentangkan kepada Pesuruhjaya dan Menteri Besar untuk tindakan selanjutnya,” jelas beliau.