Keputusan Hamzah terus ‘bertenggek’ jawatan Ketua Pembangkang cetus persoalan isu moral, integriti : Tun Faisal

LocalPolitics
16 Mar 2026 • 1:08 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin sepatutnya sudah lama meletakkan jawatan sebagai Ketua Pembangkang selepas beliau dipecat daripada parti.

Menurut Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, ini kerana Hamzah kini hanya Ahli Parlimen yang tidak berparti atau Ahli Bebas di Dewan Rakyat justeru secara prinsipnya, seorang Ahli Parlimen Bebas tidak sepatutnya memegang jawatan strategik yang diperoleh melalui parti.

Malah kata Tun Faisal, jawatan Ketua Pembangkang yang disandang oleh Hamzah sebelum ini diperoleh atas kapasiti beliau sebagai Setiausaha Agung Bersatu, Ahli Parlimen Bersatu dan wakil blok pembangkang Perikatan Nasional.

Tegasnya, keputusan dasar Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) adalah jawatan Ketua Pembangkang mesti dipegang oleh Ahli Parlimen PAS.

“Apabila Larut (Hamzah) dipecat dan bukan lagi ahli parti, adalah tidak wajar dia terus bertenggek pada jawatan tersebut jika masih mempunyai maruah dan rasa malu.

“Berdasarkan prinsip di bawah Akta Lompat Parti 2022, Ahli Parlimen yang tidak lagi menjadi ahli parti yang diwakilinya sewaktu pilihan raya tidak lagi boleh dianggap mewakili parti tersebut dan sewajarnya ditempatkan di blok Bebas,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

Hamzah dipecat daripada Bersatu pada 13 Februari lalu.

Pada Ahad, Hamzah berkata beliau akur jika majoriti Ahli Parlimen dalam blok pembangkang tidak mahukan beliau menjadi Ketua Pembangkang lagi.

Menurut Hamzah, ini kerana jawatan berkenaan bergantung kepada sokongan majoriti Ahli Parlimen di blok pembangkang dan memerlukan kerjasama erat bagi memastikan fungsi semak dan imbang terhadap kerajaan dapat dijalankan dengan berkesan.

Sebelum ini, Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Samsuri Moktar berkata, gabungan berkenaan akan mengumumkan Ketua Pembangkang yang baharu dari PAS pada hujung bulan ini.

Sehingga tempoh berkenaan, Samsuri berkata, Hamzah yang juga bekas Timbalan Presiden Bersatu akan kekal sebagai Ketua Pembangkang.

Mengulas lanjut, Tun Faisal berkata adalah tidak wajar seorang Ahli Parlimen Bebas terus memegang jawatan Ketua Pembangkang, iaitu jawatan yang sepatutnya dipegang oleh Ahli Parlimen yang mempunyai mandat jelas daripada gabungan parti terbesar dalam blok pembangkang, iaitu Perikatan Nasional (PN).

“Sebelum ini, ramai penganalisis melihat prestasi blok pembangkang di Dewan Rakyat tidak memberangsangkan, sering dilihat lemah dan gagal memainkan peranan semak dan imbang secara berkesan terhadap kerajaan di Dewan Rakyat.

“Berdasarkan rekod prestasi tersebut, Larut sememangnya wajar digantikan dengan Ketua Pembangkang yang baharu.

“Tindakan Larut untuk terus bertenggek pada jawatan Ketua Pembangkang walaupun bukan lagi ahli parti yang memberikan mandat kepadanya bukan sahaja tidak wajar dari sudut politik, malah menimbulkan persoalan serius dari sudut moral dan integriti,’’ ujarnya. - 16 Mac, 2026

The post Keputusan Hamzah terus ‘bertenggek’ jawatan Ketua Pembangkang cetus persoalan isu moral, integriti : Tun Faisal appeared first on Scoop.