
KUALA LUMPUR - PAS akan mengambil kepimpinan Perikatan Nasional (PN) susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi, kata Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Menurut Hadi, bagi tujuan itu, mesyuarat khas akan diadakan minggu depan bagi memilih pengerusi baharu.
“PAS mempunyai ramai calon yang sesuai, termasuk ahli politik dan teknokrat.
“Apa yang pasti, pengerusi itu akan dipilih daripada kalangan pemimpin PAS,’’ katanya kepada pemberita selepas menghadiri kuliah di Masjid Rusila.
Ditanya kemungkinan beliau akan menerajui PN seperti cadangan beberapa pihak, Abdul Hadi sekadar menjawab dirinya dalam keuzuran.
“Memang saya ni, orang kata dalam keadaan keuzuranlah. Kita bincang dalam parti. Dan ada orang,’’ katanya.
Hadi berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan bahawa beliau merupakan calon paling sesuai untuk menerajui gabungan tersebut.
“Kita dah buat keputusan akan ambil ahli PN. PAS akan ambil ahli pimpinan PN. Kita akan bincang dalam mesyuarat.
“Mesyuarat itu nanti akan bersama-sama Bersatu. (Pemimpin) yang letak jawatan itu atas dia (sama ada) hendak datang (mesyuarat) atau tidak,’’ katanya.
Kekosongan jawatan Pengerusi PN berlaku susulan pengumuman Muhyiddin untuk meletak jawatan, berkuat kuasa 1 Januari 2026, selepas lebih lima tahun memimpin gabungan itu.
Pengunduran Muhyiddin, yang juga presiden Bersatu turut disertai beberapa pemimpin Bersatu lain.
Mereka termasuk Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang melepaskan jawatan Setiausaha Agung PN dan pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Pengerusi PN Perak) dan Mohamad Hanifah Abu Baker (Pengerusi PN Negeri Sembilan). - 2 Januari, 2025
The post Calon Pengerusi PN akan dipilih minggu depan dari PAS: Hadi appeared first on Scoop.

