
KUALA LUMPUR - Sesi dialog interaktif boleh diadakan pada bila-bila masa sekiranya Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi setuju berdepan calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa Dr Maszlee Malik.
Malah, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzi berkata, Radio Televisyen Malaysia (RTM) sedia menawarkan platform siaran langsung bagi membolehkan dialog itu diadakan.
Fokus dialog, katanya, adalah mengenai fokus kepada perbincangan mengenai hala tuju pembangunan serta masa depan Johor.
"Masa masih ada… kalau perlu, saya sedia untuk menyediakan di RTM TV1, pentas untuk Dr Maszlee dan Datuk Onn Hafiz berdialog… kita boleh berdialog dengan beradab dan saya percaya Onn Hafiz akan memberanikan diri untuk berdialog dengan Dr Maszlee," katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata pada pemberita di Muar, malam tadi.
Maszlee sebelum ini menyatakan kesediaan untuk bersemuka dan berdebat dengan mana-mana pihak, terutamanya Onn Hafiz bagi membentangkan visi serta membela nasib keseluruhan rakyat yang diwakili oleh PH.
Bagaimanapun semalam, bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata Pakatan Harapan (PH) perlu menamakan terlebih dahulu calon Menteri Besar Johor sekiranya benar-benar mahu mengadakan debat dengan Onn Hafiz.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata keberanian berdepan perbezaan pandangan dan kritikan secara profesional merupakan ciri penting yang perlu dimiliki oleh seseorang pemimpin demi kepentingan masa depan kemajuan negeri.
Beliau turut memuji keterbukaan Maszlee yang berani membuka ruang ke arah perbincangan interaktif bersama dengan 41 anak muda tempatan bagi membincangkan aspirasi masa depan Johor.
Mengulas mengenai penetapan tarikh mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 itu pada pertengahan bulan ini, Fahmi menyeru golongan pengundi muda untuk mengetepikan segala kekangan logistik dan bangkit menunaikan tanggungjawab demi menentukan hala tuju pembangunan Johor bagi tempoh lima tahun akan datang.
Pada PRN kali ini, Maszlee dicabar calon Barisan Nasional (BN) Teow Chia Ling, Nicholas Paul Vincent daripada Parti Bersama Malaysia (Bersama), Rashifa Aljunied yang mewakili Muda dan calon Bebas Wang Wee Seong dalam pertandingan lima penjuru.
Onn Hafiz, yang juga penyandang kerusi DUN Machap, pula mewakili BN berdepan calon PH Nor Hafiz Roslan dalam pertembungan satu lawan satu di kawasan berkenaan.
Hari pengundian PRN Johor ditetapkan pada 11 Julai ini manakala undi awal pada 7 Julai. - 3 Julai, 2026
The post RTM sedia tawar platform dialog Maszlee – Onn Hafiz bila-bila masa: Fahmi appeared first on Scoop.





