Calon PN Di Kelantan, Terengganu Guna Logo PAS, 'Semuanya Molek Saja'

Politics
2 Nov 2022 • 7:08 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Calon PN yang bertanding di Kelantan dan Terengganu akan menggunakan logo PAS pada PRU-15 ini. - Gambar fail

KUALA LUMPUR - Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan calon parti gabungan itu yang bertanding di Kelantan dan Terengganu akan menggunakan logo PAS.

Jelas beliau, calon selain dua negeri tersebut akan menggunakan logo PN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), 19 November ini.

Katanya, keputusan itu berdasarkan rundingan dipersetujui barisan kepimpinan tertinggi PN yang dianggotai BERSATU, PAS, GERAKAN, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

image is not available
Muhyiddin Yassin - Gambar oleh Syeda Imran

“Pada PRU ini kita sudah sepakat sebahagian besar walaupun tak semua menggunakan khemah PN. Kita sudah setuju juga untuk Kelantan dan Terengganu atas sebab-sebab tertentu supaya negeri itu menggunakan simbol parti PAS… simbol hat bulan.

"Yang lain, kita akan guna simbol PN. Ini telah pun sepakati. Jadi Insya-Allah, mulai sekarang sampai penghujung PRU-15, nak lihat bendera PN berkibar di seluruh negara," katanya pada majlis pengumuman calon PRU-15 PN di MITEC, malam tadi.

Pada masa sama beliau turut mengakui proses rundingan pengagihan kerusi membabitkan parti gabungan tersebut berjalan dengan lancar.

Muhyiddin berkata, kesemua parti dalam gabungan itu saling hormat-menghormati dan sepakat dengan kerusi yang akan ditandingi.

image is not available
Barisan calon Ahli Parlimen PN yang akan bertanding pada PRU-15 ini.

“Tak ada berhentak meja, jauh sekali bertengkar dan bergaduh… molek saja, comel lote saja, berjalan dengan lancar sahaja, hormat-menghormati. 

“Sekarang PAS, BERSATU jadi sahabat cukup karib, macam abang, adik. Kalau ada sesuatu kita nak beritahu, tak selindung. Kita buat secara terbuka, nothing to hide, kerana niat dan nawaitu kita baik, ikhlas.

“Dengan Datuk Dominic (Lau) lagi tak ada masalah. Ok sahaja, senang selesai. Kawan kita di Sabah dan Sarawak tu pun ok, tak ada masalah. Jadi sebab itu baru-baru ini kita dah beritahu dah sign, meterai kerusi-kerusinya,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut mengumumkan PN akan bertanding di empat kerusi Parlimen di Sarawak iaitu Bintulu, Saratok, Lubok Antu dan Batang Lupar. – Getaran, 2 November 2022