DAP Tampil Lebih Ramai Calon Wanita Pada PRU-15

Politics
2 Nov 2022 • 5:12 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Anthony berkata, 14 daripada 55 calon parti itu yang akan mewakili PH adalah di kalangan wanita. - Gambar oleh Azim Rahman

KUALA LUMPUR - DAP menampilkan lebih ramai calon dalam kalangan wanita untuk mewakili parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, 14 daripada 55 calon parti itu yang akan mewakili Pakatan Harapan (PH) adalah di kalangan wanita iaitu sebanyak 25 peratus.

Menurut beliau, perkara itu membuktikan partinya mengangkat martabat wanita kerana golongan itu mempunyai kebolehan dan potensi yang sama untuk memegang jawatan penting dalam kerajaan.

“Kita capai 25.4 peratus calon wanita. Ada kata tak cukup (wanita DAP) namun dari segi peratusan, kita mencapai jumlah paling tinggi dalam kalangan parti politik lain khususnya Barisan Nasional (BN), yang hanya menyenaraikan 18 wanita daripada lebih 100 calon mereka.

“DAP dah 14 (calon wanita), belum campur PKR dan AMANAH. Perak enam daripada 19 calon adalah wanita. Di Pahang kita ada lapan calon dengan dua daripadanya adalah wanita.

“Di semua peringkat ada penglibatan wanita dalam barisan pencalonan kita yang telah dimuktamadkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Watikah Calon DAP, hari ini.

Pada masa sama, Anthony menegaskan, 21 daripada 55 calon yang dipertaruhkan DAP adalah calon yang berumur di bawah 40 tahun.

“Ini menjadikan umur purata calon DAP adalah 45 tahun dalam kalangan semua calon di peringkat Parlimen,” katanya. - Getaran, 2 November 2022