
CYBERJAYA, 26 NOV: Pelajar berharap Program Mega Selangor Nutrition (NutriSel) diteruskan kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada masa akan datang kerana inisiatif itu mampu meningkatkan semangat mereka sepanjang tempoh peperiksaan.
Calon SPM Sekolah Seri Puteri, Ariana Arissa Abi Sarwan Mazran, 17, berkata program itu tepat pada masanya ketika pelajar sudah selesai menduduki beberapa kertas peperiksaan dan ada antara mereka mula berasa kurang bersemangat.

“Program ini wajar diteruskan kerana sangat membantu menaikkan semangat kami selain menyediakan makanan yang memberi motivasi untuk terus berusaha bersungguh-sungguh.
“Kami baru selesai menduduki beberapa kertas SPM termasuk Matematik, jadi ada antara kami yang mungkin berasa sedikit kecewa. Program ini membantu menceriakan kami semula,” katanya kepada Media Selangor pada program MegaNutriSel di sekolahnya di sini, hari ini.
Beliau turut menyifatkan pemberian itu sebagai kejutan yang tidak dijangka, selain berpendapat program berkenaan sudah cukup baik dan tidak memerlukan penambahbaikan besar.

Seorang lagi penerima manfaat, Ayesha Damia Mohammed Akhsar, 17, berkata NutriSel menyediakan pelbagai makanan berkhasiat yang dapat membantu memenuhi keperluan nutrisi pelajar sepanjang peperiksaan.
“NutriSel sangat membantu kerana kami dibekalkan pelbagai sumber nutrisi seperti vitamin daripada roti dan susu. Ini memberi kami semangat untuk terus menghadapi cabaran.
“Saya rasa program ini perlu diteruskan pada masa akan datang kerana dapat memberi galakan kepada semua pelajar yang menduduki peperiksaan SPM,” katanya.
Terdahulu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan pek makanan kepada kira-kira 170 calon SPM Sekolah Seri Puteri, yang dijangka mencukupi untuk keperluan mereka selama empat hingga lima hari.
Beliau berkata, pek berkenaan mengandungi vitamin, roti, susu dan makanan lain, selain barangan keperluan seperti kipas serta bank kuasa.
Sebelum ini, Kerajaan Selangor mengumumkan peruntukan RM3 juta bagi pelaksanaan program NutriSel yang menyasarkan 73,594 calon SPM di seluruh negeri, menerusi pemberian makanan dan suplemen sepanjang tempoh peperiksaan sekali gus meringankan beban keluarga mereka.




