Calon SPM jatuh perigi stabil, sedang dirawat

26 Apr 2026 • 8:09 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Calon SPM jatuh perigi stabil, sedang dirawat
Laporan Sinar Harian berhubung calon SPM jatuh perigi 5.4 meter

KOTA BHARU - Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjatuh ke dalam perigi di sebuah sekolah di sini pada Ahad dilaporkan stabil dan sedang menerima rawatan di hospital.

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pihaknya amat prihatin terhadap kejadian yang menimpa pelajar lelaki berusia 17 tahun berkenaan.

Menurut kenyataan itu, keutamaan ketika ini adalah untuk memastikan pelajar terbabit menerima rawatan terbaik selain memberikan sokongan sewajarnya kepada keluarga mangsa.

"Pelajar berkenaan kini sedang dirawat di hospital dan berada dalam keadaan stabil.

"Tumpuan JPN Kelantan pada ketika ini adalah untuk memastikan rawatan terbaik kepada pelajar Tingkatan Lima itu dan sokongan diberikan kepada keluarga," katanya.

JPN Kelantan turut memaklumkan bahawa punca kejadian masih dalam siasatan.

Dalam pada itu, semua institusi pendidikan di bawah kelolaan jabatan berkenaan diingatkan supaya meningkatkan pematuhan terhadap aspek keselamatan bagi mengelakkan insiden sama berulang.

"Semuanya diminta meningkatkan aspek keselamatan supaya kejadian seumpama ini tidak berulang," menurut kenyataan itu.

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan bahawa seorang calon SPM berdepan detik cemas apabila terjatuh ke dalam sebuah perigi sedalam kira-kira 5.4 meter ketika menunggu untuk menduduki peperiksaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Falahiah, Wakaf Bharu di sini pada Ahad.

Pelajar lelaki berusia 17 tahun itu bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh anggota bomba dalam tempoh kira-kira lima minit sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan untuk rawatan lanjut selepas mengalami kecederaan ringan di kepala dan beberapa luka kecil pada badan.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Wakaf Bharu, Pegawai Bomba Kanan I Azmi Sulaiman berkata bahawa pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.12 pagi sebelum sebuah jentera bersama enam anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

Menurut beliau, sebaik tiba pada jam 9.23 pagi, pihak bomba mendapati mangsa berada di dalam perigi lama yang tidak lagi digunakan.

"Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai duduk di atas penutup simen perigi berkenaan sebelum struktur itu pecah lalu menyebabkan dia terjatuh ke bawah.

"Mangsa kemudian dikeluarkan menggunakan peralatan menyelamat khas termasuk tali dan tangga," katanya ketika dihubungi pada Ahad.