KLANG - Calon lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang ingin melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) perlu memenuhi syarat utama iaitu lulus mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah.
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, syarat itu ditetapkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi membolehkan lepasan UEC mengikuti program tertentu yang dikenal pasti di IPTA.
Menurutnya, calon UEC yang memenuhi syarat berkenaan berpeluang menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi di universiti awam.
"Secara umumnya, bila calon UEC ambil mata pelajaran Sejarah dan Bahasa Melayu serta lulus, mereka boleh diterima masuk ke IPTA," katanya ketika ditemui selepas Peluncuran Tuaian Nanas di Projek Rintis Pintar Parlimen Kota Raja di sini pada Jumaat.
Pada Rabu, media melaporkan calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz serta Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC)/UEC berpeluang mengikuti program tertentu yang dikenal pasti di IPTA.
KPT dalam satu kenyataan memaklumkan, langkah itu dipersetujui berdasarkan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri berkaitan laluan kemasukan pelajar lepasan di luar sistem pendidikan kebangsaan ke IPTA.
Dalam perkembangan lain, Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, bekalan beras negara berada dalam keadaan stabil sehingga penghujung tahun ini.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat pembelian panik kerana stok bekalan masih mencukupi.
"Bekalan beras berada dalam keadaan stabil buat masa ini sehingga hujung tahun ini, cuma jangan beli banyak-banyak, beli seperti biasa," tambah beliau.






