SHAH ALAM - Keputusan Jemaah Menteri berkaitan laluan kemasukan lepasan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC)/Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) hanya suatu langkah awal untuk merintis pengiktirafan sistem pendidikan itu dalam negara.
Timbalan Ketua Pemuda Pas Pusat, Mohd Hafez Sabri berkata, pihaknya membantah keputusan berkenaan walaupun calon aliran tersebut diwajibkan mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah kendalian Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) yang diperakui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebagai syarat dan kemasukan dipertimbangkan hanya untuk mengikuti program tertentu di IPTA.
"Hal ini juga jelas bercanggah dengan pendirian Perdana Menteri sebelum ini. Pada hujung tahun 2025, Perdana Menteri menegaskan bahawa penguasaan Bahasa Melayu perlu diperkasakan terlebih dahulu sebelum sebarang cadangan pengiktirafan terhadap UEC dipertimbangkan.
"Demikian juga pendirian Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebelum ini yang menegaskan bahawa isu pengiktirafan UEC perlu berpaksikan Perlembagaan Persekutuan, Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan kedudukan Bahasa Melayu.
"KPT juga menyatakan bahawa isu ini tidak boleh diputuskan berdasarkan tekanan politik atau tuntutan mana-mana pihak," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Ujarnya, bagaimanapun tindakan membuka laluan rasmi kepada lepasan UEC memasuki IPTA bagi program tertentu seperti membuka kotak pandora.
"Apakah jaminan kelompok tertentu akan berhenti membuat tuntutan untuk mendapat pengiktirafan penuh dalam keadaan Perdana Menteri semasa bergantung harap kepada DAP untuk berada di posisi tersebut?
"Alasan inklusiviti yang dikemukakan kerajaan juga sangat tempang. Sistem pendidikan kebangsaan melalui Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sememangnya sudah bersifat inklusif dan terbuka kepada semua rakyat tanpa mengira kaum atau agama.
"Jika ada pihak memilih untuk berada di luar sistem arus perdana melalui aliran Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) dan UEC, mengapa kerajaan pula perlu berkompromi terhadap dasar yang menyentuh soal identiti nasional dan pembinaan negara bangsa?" katanya.
Menurutnya, kerajaan terdahulu mengambil iktibar daripada tragedi hitam 13 Mei 1969 dengan memperkukuhkan identiti nasional melalui bahasa, pendidikan dan budaya kebangsaan.
Ujarnya, formula itu yang sepatutnya diteruskan demi mencapai cita-cita perpaduan negara sebagaimana termaktub dalam Rukun Negara.
"Tatkala penguasaan Bahasa Melayu dalam kalangan sebahagian masyarakat bukan bumiputera masih berada pada tahap membimbangkan dan polarisasi kaum semakin ketara, keputusan kerajaan ini berpotensi melebarkan lagi jurang perkauman dalam negara.
"Apakah Jemaah Menteri miliki formula yang lagi ampuh untuk proses pembinaan negara bangsa yang aman dan bersatu?
"Justeru, Pemuda Pas menggesa Jemaah Menteri menyemak semula keputusan ini demi kesejahteraan rakyat dan perpaduan negara," katanya.
Menurutnya, pihaknya akan terus menggerakkan siri bantahan besar-besaran dalam kerangka Perlembagaan dan demokrasi sehingga Jemaah Menteri menarik balik keputusan berkenaan.
