Cameron Highlands diiktirafkan sebagai bandar paling bahagia

17 Mar 2024 • 11:12 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

image is not available

Cameron Highlands telah diiktiraf sebagai salah satu daripada 10 Bandar Paling Bahagia di Malaysia pada tahun ini.

Menurut Kajian Indeks Kebahagiaan Malaysia 2024 yang dijalankan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), bandar-bandar lain yang turut tersenarai adalah Jeli, Jerantut, Kuala Terengganu, Lenggong, Bandaraya Melaka, Petaling Jaya, Port Dickson, Kulai dan Rompin.

Indeks kebahagiaan ini merangkumi 14 komponen penilaian yang mencakupi aspek-aspek seperti alam sekitar, pemimpin tempatan, perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT), infrastruktur asas, keseronokan bekerja, hubungan jiran dan tahap stres.

Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, Malaysia berada pada kedudukan ke-55 paling bahagia di dunia daripada 137 negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan skor indeks 6.012. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 15 anak tangga berbanding dua tahun lalu.

Selain itu, Indeks Kebahagiaan Malaysia telah menunjukkan peningkatan sebanyak 5.7 mata dari lima tahun sebelum ini, iaitu daripada 81.24 peratus pada tahun 2019 kepada 86.94 peratus tahun ini.

Bagi pengukuran Indeks Kebahagiaan pada tahun 2024, sebanyak 144 PBT telah menyertai kaji selidik indeks di mana 71 peratus telah mencapai tahap bahagia dan 29 peratus mencapai tahap sederhana bahagia.

Mengenai kelebihan yang dimiliki Cameron Highlands untuk dinobatkan sebagai Bandar Paling Bahagia, Kor Ming berkata, ia adalah berdasarkan hasil kajian penduduk setempat. Faktor-faktor seperti harga sayur yang murah, cuaca sejuk, dan keseronokan bekerja mungkin telah memberikan sumbangan kepada kebahagiaan penduduk setempat.

Sumber: Sinar Harian