
BRUSSELS: Rajindra Campbell mencipta sejarah apabila menjadi atlet Jamaica pertama melakukan lontaran melepasi 23 meter (m) dalam acara lontar peluru.
Kejayaan itu sekali gus mencatat rekod kebangsaan Jamaica dan catatan terbaik dunia pada final Liga Berlian di Brussels, Belgium, semalam.
Campbell menghasilkan lontaran sejauh 23.08m untuk menghuni tempat keempat dalam senarai sepanjang zaman dan menjadi atlet lelaki kelima dalam sejarah yang berjaya melepasi garisan 23m.
“Sudah ada petanda ketika latihan bahawa lontaran seperti ini akan berlaku, tetapi dapat melakukannya dalam pertandingan hari ini terasa luar biasa.
“Garisan 23m adalah lencana penghormatan buat setiap atlet lontar peluru,” kata Campbell.
Dalam pada itu, Audrey Werro terpaksa melakukan henjutan terakhir sebelum melintasi garisan penamat untuk memenangi 800m wanita dalam catatan 1 minit 54.75 saat (s), mengatasi pelari Belanda, Femke Bol dalam perlumbaan sengit.
“Saya dapat merasakan Femke memberikan tekanan sepanjang perlumbaan dan ia benar-benar mendorong saya untuk tidak memperlahankan rentak.
“Kehadirannya menjadi sumber motivasi besar untuk saya kekal tajam dalam persiapan menuju tahun depan,” kata Werro.
Sementara itu, Masai Russell meneruskan musim sempurnanya apabila meraih kemenangan ke-12 daripada 12 perlumbaan dalam 100m lari berpagar wanita dengan catatan 12.20s hanya seminggu selepas memecahkan rekod dunia 12.09s di Zurich. – AGENSI
The post Campbell cipta sejarah dengan lontaran 23.08m appeared first on Utusan Malaysia.
