Cantik, sopan dengan Timur

Women's Fashion
17 Oct 2026 • 9:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Cantik, sopan dengan Timur

Koleksi Timur, sentuhan jenama tempatan, Anany.co. ini membuatkan saya berhenti seketika untuk melihatnya lebih lama.

Ini kerana saya mudah tertarik kepada pakaian yang ada cerita.

Inspirasi koleksi ini datang daripada Jalur Sutera, laluan bersejarah yang menemukan budaya, pertukangan dan cerita dari Timur merentas generasi.

Namun Anany.co. bijak kerana tidak menjadikan sejarah itu terlalu literal.

Timur tidak kelihatan seperti pakaian yang menunggu untuk digayakan majlis bertema, sebaliknya ia seperti pakaian untuk wanita hari ini.

Siluetnya panjang dan santai, dengan kolar berpengaruh Timur, butang berbalut serta sulaman bunga yang menjadi fokus tanpa mengambil alih keseluruhan penampilan.

Manik kayu pada tali pinggang pula mungkin kecil, tetapi di situlah terasa sentuhan tangan dan karakter koleksi ini.

Image from: Cantik, sopan dengan Timur

Di bahagian belakang pula, ikatan pada pinggang boleh dilaraskan mengikut keselesaan pemakai.

Cantik, praktikal dan tidak terlalu cerewet dengan bentuk tubuh.

Pendek kata, Timur tahu satu perkara penting tentang wanita iaitu baju sepatutnya mengikut tubuh.

Material yang digunakan campuran 80 peratus kapas rayon, 15 peratus nilon dan lima peratus linen.

Teksturnya sengaja dibiarkan terasa organik dengan jatuhan lembut, menjadikannya sesuai dengan idea keseluruhan koleksi. Bersahaja, tetapi tetap anggun.

Koleksi ini tampil dalam empat pilihan warna iaitu aubergine, mocha, natural dan sage, dengan setiap satunya membawa gaya yang berbeza.

Aubergine tampil lebih berani dan matang, sementara mocha terasa hangat dan mudah digayakan.

Image from: Cantik, sopan dengan Timur

Sage pula memberi rasa segar dan kontemporari, manakala natural paling bersahaja dengan rona lembut yang senang dipadankan dengan pelbagai aksesori.

Untuk gaya di siang hari, padankan dengan sandal, beg berstruktur dan barang kemas yang minimal.

Menjelang malam, kasut metalik atau anting-anting yang lebih menyerlah sudah cukup untuk mengubah suasana. Tidak perlu terlalu banyak aksesori.

Ketika fesyen ghairah mahu menjadi baharu, Anany.co memilih untuk melihat semula apa yang sudah lama ada.

Mungkin pakaian terbaik memang begitu. Ia tidak mengubah si pemakai menjadi orang lain.

Ia cuma memberi sedikit ruang untuk wanita itu kelihatan seperti dirinya sendiri.

The post Cantik, sopan dengan Timur appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved