
TAMPIN – Memilih pekerjaan yang sinonim dengan kaum lelaki, gadis manis berusia 28 tahun ini membuktikan, dirinya tidak kekok ‘melayan’ stereng lori sehingga 16 jam sehari termasuk merentas perjalanan jauh ke Johor Bahru dan Pantai Timur.
Malah, Ain Nadia Kasikin menyifatkan bidang itu sebagai batu loncatan untuk dirinya membina empayar pengangkutan sendiri selepas melihat potensi besar dalam bidang tersebut.
“Saya ada sebuah lori kargo satu tan sekarang. Insya-Allah, selepas ini mahu tambah lagi lori jika ada rezeki. Sasaran saya mahu pergi lebih jauh, selain meneruskan legasi bisnes ayam goreng bapa sejak 45 tahun lalu.
“Bagi perkhidmatan lori ini biasanya saya akan ambil untuk hantar barang kilang mahupun membantu proses pindah rumah. Biasanya bapa (Kasikin Ahmad) akan teman sementara mak menjaga kedai,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.
Lebih menarik, Ain Nadia memperoleh 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) termasuk lima A+ dalam aliran Sains Tulen. Dia kemudian mengikuti pengajian asasi dalam bidang veterinar sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Ain Nadia berkata, perniagaan perkhidmatan dalam talian diusahakan bermula ketika berada di tahun keempat pengajian apabila bisnes pasar malam keluarga terhenti selepas negara dilanda pandemik Covid-19.
“Pada mulanya tidak terfikir sampai ke tahap memandu lori. Tetapi setiap orang ada perjalanan hidup. Apabila tengok keluarga berdepan banyak ujian ketika PKP, saya fikir apa yang boleh dilakukan untuk bantu mereka,” katanya.
Ain Nadia yang memperoleh lesen lori pada 2023 berkata, cabaran sebenar bermula apabila dia perlu melakukan perjalanan jauh termasuk membawa muatan telur selama lapan hingga 16 jam ke Pantai Timur dengan upah penghantaran antara RM800 hingga RM1,000.
Kini, selain menguruskan perniagaan makanan keluarga di beberapa pasar malam sekitar Tampin, Alor Gajah dan Masjid Tanah, Ain Nadia berharap agar empayar bisnes pengangkutannya semakin besar.
“Alhamdulilah, bisnes ayam goreng diusahakan bapa sudah berjaya beroperasi di premis kekal dengan nama Ayam Goreng Kasikin sejak lebih dua tahun lalu,” katanya yang kini sedang menyambung pengajian di sebuah universiti swasta. -KOSMO! ONLINE
The post Gadis pintar pilih stereng lori appeared first on Kosmo Online.
