GEORGE TOWN – Isu parkir tidak terkawal di Pulau Pinang dilihat semakin membimbangkan apabila kenderaan diletakkan sewenang-wenangnya termasuk di zon larangan sehingga menjejaskan keselamatan dan kelancaran lalu lintas.
Sehubungan itu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan polis mengambil tindakan segera terhadap pemandu yang terus melanggar peraturan tempat letak kereta.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, tinjauan pihaknya mendapati trend parkir tidak bertanggungjawab semakin meningkat di seluruh negeri itu.
Menurutnya, ramai pengguna jalan raya dilihat tidak mengendahkan kesan tindakan mereka terhadap orang lain sekali gus mencetuskan risiko bahaya dan ketidakselesaan.
“Keadaan kini berada pada tahap kritikal khususnya di sepanjang Jalan Residensi berhampiran Hospital Pulau Pinang apabila kenderaan kerap diletakkan di garisan kuning berkembar,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau berkata, perkara sama turut berlaku di Lebuh Pasar yang mana pemilik kenderaan telah menyalahgunakan petak parkir awam.
Tambahnya, terdapat individu menggunakan objek seperti tong, kerusi plastik dan pasu bunga bagi menempah tempat letak kereta secara tidak sah.
“Selain itu, tindakan meletakkan kenderaan di atas turapan dan di perhentian bas turut memburukkan lagi kesesakan lalu lintas serta mengganggu pergerakan pejalan kaki,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan penguatkuasaan yang lebih tegas dan konsisten perlu dilaksanakan bagi membendung masalah berkenaan.
Tambahnya, langkah segera amat penting bagi memulihkan keadaan trafik selain melindungi hak serta keselamatan semua pengguna jalan raya di Pulau Pinang.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan tindakan tidak bertanggungjawab pemilik kenderaan yang meletakkan kereta di bahu jalan di Jalan Residensi berhampiran Hospital Pulau Pinang (HPP) terus mencetuskan kebimbangan sekali gus mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.
Jalan Residensi merupakan laluan utama yang menghubungkan hospital, sekolah serta kawasan perumahan di pusat bandar dan digunakan secara aktif oleh kenderaan awam serta penunggang motosikal.
Tinjauan mendapati bahu jalan di laluan itu sering dipenuhi kenderaan yang diletakkan secara tidak bertanggungjawab terutama pada waktu puncak sehingga menyebabkan jalan menjadi sempit dan sesak.
Keadaan tersebut bukan sahaja mengganggu kelancaran trafik malah meningkatkan risiko kemalangan khususnya kepada penunggang motosikal yang terpaksa berkongsi ruang laluan terhad.


