
Sebelum ini, CapCut hanya menawarkan beberapa pelan langganan iaitu CapCut Free (Percuma), CapCut Standard, CapCut Pro serta CapCut Team Plan. Kini mereka memperkenalkan pilihan baharu iaitu Ultra yang hadir dengan lebih banyak ciri berasaskan AI untuk memudahkan proses suntingan.

Pelan baharu ini merupakan pilihan paling premium. Ia masih mengekalkan semua ciri yang terdapat pada pelan Pro sambil menambah kapasiti lebih besar dengan kredit bulanan sekitar 40,795, storan 1TB serta akses penuh kepada semua ciri suntingan berasaskan AI. Ultra direka khusus untuk pengguna yang memerlukan keupayaan menyeluruh dan kebebasan sepenuhnya dalam kerja kreatif mereka.

Semakan kami mendapati bahawa untuk bulan pertama, pengguna hanya perlu membayar RM198 sebulan bagi langganan. Selepas tempoh promosi, langganan bulanan akan kembali kepada harga asal iaitu RM329.90. Bagi langganan tahunan pula, harga promosi ditawarkan pada RM2,199.90 untuk tahun pertama sebelum kembali kepada kadar asal iaitu RM3,199.00 setahun.
Sekali lagi ditegaskan bahawa harga dalam tangkap layar ini hanyalah promosi untuk bulan atau tahun pertama sahaja. Selepas tempoh promosi tamat, langganan akan kembali kepada kadar asal seperti yang telah ditetapkan.




