Cape EMS tembusi pasaran BESS di Eropah, Jerman dijadikan sebagai pintu masuk utama

Business & Finance
10 Sep 2026 • 12:10 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Cape EMS tembusi pasaran BESS di Eropah, Jerman dijadikan sebagai pintu masuk utama Image from: Cape EMS tembusi pasaran BESS di Eropah, Jerman dijadikan sebagai pintu masuk utama amree10/09/2026 - 12:10 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 10 SeptCape EMS Berhad meneroka peluang pertumbuhan baharu dalam pasaran sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) kediaman Eropah menerusi Jerman sebagai pintu masuk awal.

 

Langkah itu mempercepatkan transformasi kumpulan daripada pengeluar perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) konvensional kepada penyedia integrasi sistem tenaga hijau bernilai lebih tinggi.

 

Ujar kumpulan itu, perkembangan tersebut susulan anak syarikatnya, Cape Renewables Sdn Bhd memeterai Perjanjian Pengedaran dan Kerjasama Strategik dengan Helios PV (Asia Pacific) Pte Ltd.

 

"Usaha ini bagi mengkomersialkan serta mengedar BESS kediaman di Kesatuan Eropah (EU) dan rantau Asia Pasifik, dengan menyasarkan Jerman sebagai pasaran permulaan" jelas CAP EMS dalam kenyataan.

 

Negara itu dipilih kerana merupakan antara pasaran BESS paling matang di Eropah dengan 2.4 juta unit beroperasi pada awal 2026 dan jumlah kapasiti yang terpasang melebihi 25 gigawatt-jam (GWh).

 

Sebahagian besar sistem itu pula digabungkan dengan kemudahan solar fotovolta (PV), mencerminkan peningkatan permintaan terhadap rumusan penjanaan dan penyimpanan tenaga secara lebih bersepadu.

 

Di bawah kerjasama itu, Cape EMS akan memanfaatkan kemudahan pembuatan di Senai, Johor untuk mengendalikan keseluruhan proses termasuk penyumberan, integrasi, ujian dan pembekalan BESS.

 

Cape EMS_DagangNews2026

 

"Helios yang berpengalaman lebih 15 tahun dalam industri solar pula menerajui kerja pembangunan pasaran, proses import, pengedaran serta sokongan pelanggan peringkat pertama," tambahnya lagi.

 

Gabungan keupayaan pembuatan kumpulan itu dan saluran komersial Helios dijangka membantunya bagi menembusi permintaan antarabangsa yang semakin berkembang bagi penyimpanan tenaga di kediaman.

 

Kata Cape EMS, kerjasama itu bukan sekadar memperkenalkan produk, malah membolehkan kumpulan mengambil bahagian lebih luas dalam rantaian nilai sistem tenaga, berbanding model tradisional.

 

Portfolio awal BESS kediaman merangkumi kabinet bateri, modul bateri, sistem pengurusan bateri (BMS), sistem pengurusan tenaga (EMS) serta perisian pemantauan yang berkaitan untuk pengguna.

 

"Rumusan bersepadu tersebut membolehkan isi rumah menyimpan tenaga daripada sistem solar atas bumbung untuk digunakan ketika tiada cahaya matahari, selain menyediakan kuasa sokongan," ujarnya.

 

Dari sudut operasi, Cape EMS menjangka produk BESS lebih standard boleh dihasilkan berulang dan mampu membuka peluang pembuatan berasaskan jumlah tinggi, serta meningkatkan fasiliti di Senai.

 

Ia turut melihat Malaysia sebagai hab pembuatan dan integrasi sistem yang berpotensi untuk pasaran EU, terutama ketika pelanggan rantau itu semakin menitikberatkan kepelbagaian rantaian bekalan.

 

Melalui Cape Renewables, kumpulan kini memperkukuh keupayaan dalam penyimpanan tenaga, tenaga boleh diperbaharui (RE) dan pengurusan tenaga, dengan meneroka pasaran antarabangsa. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved