DNeX lancar platform digital sehenti TradeHub, mudahkan PKS tembusi pasaran global

LocalBusiness & Finance
7 Sep 2026 • 4:25 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

DNeX lancar platform digital sehenti TradeHub, mudahkan PKS tembusi pasaran global Image from: DNeX lancar platform digital sehenti TradeHub, mudahkan PKS tembusi pasaran global amree07/09/2026 - 16:25 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 7 Sept — Proses perdagangan rentas sempadan yang masih berdepan sistem berasingan, proses berulang dan kekurangan keterlihatan penghantaran mendorong Dagang NeXchange Berhad (DNeX) melancarkan DNeX TradeHub, platform digital sehenti yang menghubungkan seluruh ekosistem perdagangan bagi memudahkan perniagaan menembusi pasaran global.

 

Ia menghubungkan pengeksport, pengimport, agensi kerajaan, institusi kewangan, penyedia logistik dan rakan ekosistem perdagangan menerusi satu gerbang pintar, yang mengurangkan keperluan syarikat khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengemukakan data berulang kali melalui pelbagai portal.

 

DNeX berkata, sistem perdagangan yang berpecah-pecah sebelum ini boleh menyebabkan proses penghantaran mengambil masa lebih lama, keterlihatan penghantaran terhad serta menjadi halangan kepada syarikat untuk mendapatkan pembiayaan dan meneroka pasaran baharu.

 

"Menerusi TradeHub, keseluruhan kitaran perdagangan merangkumi pendaftaran perniagaan, risikan pasaran berasaskan kecerdasan buatan (AI), penilaian kesediaan eksport, pengisytiharan kastam, pembiayaan perdagangan serta penyelarasan logistik hujung ke hujung," katanya dalam kenyataan.

 

Ujarnya, platform tersebut dibangunkan sebagai pelengkap kepada ekosistem perdagangan digital Malaysia, khususnya National Single Window (NSW) yang dikendalikan DNeX menerusi anak syarikat milik penuhnya, Dagang Net Technologies Sdn Bhd.

 

NSW berfungsi sebagai tulang belakang kawal selia bagi fasilitasi perdagangan dan pelepasan kastam, manakala TradeHub menambah perkhidmatan digital bernilai tambah untuk menyediakan perjalanan perdagangan yang lebih lancar daripada persediaan eksport sehingga penghantaran.

 

Shiraz Ramli DNex_DagangNews2026
SHIRAZ RAMLI

 

Ketua Pegawai Eksekutif DNeX IT, Shiraz Ramli berkata, penyatuan perniagaan, agensi kerajaan, institusi kewangan dan penyedia logistik dalam satu platform pintar dapat menghapuskan halangan kritikal sepanjang kitaran perdagangan.

 

"TradeHub turut memberi PKS dengan akses kepada kemudahan pembiayaan dan pasaran baharu supaya mereka dapat bersaing secara lebih berkesan di peringkat global," jelas beliau.

 

Tambahnya, pengalaman lebih tiga dekad DNeX dalam mengendalikan infrastruktur perdagangan digital utama Malaysia menjadi asas kepada pembangunan TradeHub, yang menandakan peralihan daripada sekadar memproses dokumen kepada penyelarasan ekosistem perdagangan digital secara menyeluruh.

 

Selain itu, TradeHub dilengkapi ciri seperti padanan perniagaan berasaskan AI, permohonan pembiayaan yang dipermudah dan penjejakan logistik masa nyata, membolehkan perniagaan bukan sahaja memenuhi keperluan pematuhan tetapi meningkatkan daya saing dalam pasaran antarabangsa.

 

DNeX jelas Shiraz berkata, melalui perjalanan perdagangan digital yang lebih tersusun itu, TradeHub dijangka membantu perniagaan Malaysia membuat persediaan eksport, mencari rakan niaga yang sesuai dan mengembangkan operasi ke pasaran global dengan lebih pantas, sekali gus menyokong aspirasi Malaysia sebagai hab perdagangan digital serantau. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved