amree18/09/2026 - 17:55 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 18 Sept — Capital A Berhad memulakan langkah pengoptimuman struktur modal (CSOE) yang melibatkan anak syarikatnya, Move Digital Sdn Bhd (MDSB), di bawah pengawasan mahkamah.
Langkah itu bertujuan menyusun semula pelaburan lama kumpulan, termasuk kemungkinan menjual pegangan dalam BigPay, selain mengagihkan aset tertentu kepada pemiutang.
MDSB merupakan syarikat pegangan pertengahan yang menempatkan pelaburan lama Capital A dan ketika ini tidak lagi menjalankan sebarang operasi perniagaan sendiri.
"Aset utama MDSB terdiri daripada 99.56% pegangan dalam BigPay Pte Ltd serta 13.6% kepentingan dalam Tune Protect Group Bhd," jelas Capital A dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Kumpulan itu menegaskan, MDSB adalah entiti yang berbeza daripada AirAsia Move Sdn Bhd, iaitu platform perjalanan digital kumpulan yang dimiliki secara langsung oleh Capital A dan tidak terjejas oleh proses penstrukturan ini.
Di bawah cadangan CSOE, MDSB akan melaksanakan tiga langkah utama, iaitu kemungkinan menjual pegangan dalam BigPay berdasarkan keadaan pasaran, mengagihkan pegangan 13.6% dalam Tune Protect secara terancang serta mendapatkan semula kira-kira RM32.2 juta wang yang masih terhutang kepada syarikat.
Capital A menyifatkan penstrukturan itu sebagai langkah untuk menyelesaikan liabiliti lama dan memperkemas penggunaan modal, selain mengurangkan keperluan untuk terus menyalurkan dana kepada perniagaan yang mengalami kerugian seperti BigPay.

Hasil daripada aset-aset berkenaan dijangka akan diagihkan kepada pemiutang MDSB. Capital A berkata kebanyakan pemiutang itu terdiri daripada Capital A sendiri atau syarikat yang mempunyai kaitan dengan kumpulan tersebut.
Kumpulan itu berkata proses berkenaan juga membolehkan kerugian operasi sejarah BigPay tidak lagi digabungkan dalam penyata kewangan Capital A, selepas BigPay merekodkan kerugian kasar dan kerugian bersih yang ketara pada tahun kewangan 2025.
Menurut Capital A, langkah mengeluarkan kerugian tersebut daripada penyata kewangan kumpulan berpotensi memperbaiki kualiti pendapatan serta meningkatkan fleksibiliti kewangan Capital A, tertakluk kepada penyelesaian proses penstrukturan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata, CSOE itu bertujuan memperkukuh tadbir urus serta membolehkan kumpulan menumpukan modal kepada perniagaan yang mempunyai potensi pertumbuhan lebih tinggi.
"Langkah ini merupakan usaha untuk membersihkan aset lama kumpulan dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada perniagaan pertumbuhan tinggi, sekali gus mengukuhkan kedudukan kewangan dan membolehkan lebih banyak sumber disalurkan kepada operasi teras Capital A," katanya. - DagangNews.com

