amree18/09/2026 - 17:55 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 18 Sept — Capital A Berhad mencadangkan Langkah Pengoptimuman Struktur Modal (CSOE) menerusi anak syarikatnya, Move Digital Sdn Bhd (MDSB) termasuk kemungkinan menjual pegangan dalam BigPay bagi menyusun semula pegangan korporat serta menyelesaikan liabiliti.
Kumpulan itu berkata, usaha tersebut merupakan proses proaktif di bawah rangka kerja yang diselia mahkamah, dengan MDSB sudah memfailkan permohonan berkaitan di Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur (Bahagian Komersial) mengikut Seksyen 366, 368 dan 369 Akta Syarikat 2016.
Menurut maklumannya kepada Bursa Malaysia, MDSB merupakan syarikat pegangan pertengahan bagi pelaburan legasi kumpulan yang memiliki sejumlah 99.56% kepentingan dalam BigPay Pte Ltd serta kira-kira 13.6% kepentingan dalam Tune Protect Group Berhad.
"Bagaimanapun MDSB tidak menjalankan sebarang operasi perniagaan sendiri dan perlu dibezakan daripada AirAsia Move Sdn Bhd, iaitu platform perjalanan digital kumpulan yang dimiliki secara langsung oleh Capital A sendiri," jelas kumpulan berkenaan.
Tambah kumpulan tersebut, AirAsia Move tidak terjejas oleh pelaksanaan CSOE dan akan terus beroperasi seperti biasa tanpa sebarang gangguan.

Di bawah CSOE, MDSB akan melaksanakan tiga langkah utama, iaitu potensi pelupusan pegangan ekuiti dalam BigPay berdasarkan keadaan pasaran, pengagihan terancang pegangan 13.6% dalam Tune Protect serta pemulihan penghutang bernilai kira-kira RM32.2 juta.
Capital A berkata, hasil daripada aset berkenaan akan diagihkan kepada pemiutang, yang sebahagian besarnya terdiri daripada Capital A sendiri atau syarikat berkaitan Capital A.
"Langkah ini bertujuan menyusun semula pegangan korporat dan menyelesaikan liabiliti sejarah, selain membolehkan peruntukan modal dialihkan daripada unit yang mengalami kerugian kepada operasi teras yang mempunyai potensi pulangan lebih tinggi," katanya.
Antara kesan kewangan utama yang disasarkan ialah penyahgabungan kerugian operasi sejarah BigPay daripada penyata kewangan Capital A, selepas mengambil kira penyelesaian proses yang dicadangkan.
Ujar Capital A, BigPay merekodkan kerugian kasar dan kerugian bersih yang ketara pada tahun kewangan 2025, dengan cadangan tersebut dijangka mengurangkan kesan kerugian berterusan unit berkenaan terhadap penyata kewangan kumpulan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata, CSOE mencerminkan usaha syarikat untuk memperkemas aset legasi dan menumpukan modal serta sumber kepada perniagaan pertumbuhan tinggi. - DagangNews.com






