johardy17/09/2026 - 10:00 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 17 Sept - Capital A Bhd melantik pengasas PCCO Group, Chuah Sue Yin sebagai pengarah bebas bukan eksekutif, membawa pengalaman lebih tiga dekad dalam bidang perakaunan, pengauditan dan khidmat nasihat kewangan ke Lembaga Pengarah syarikat penerbangan tambang murah itu.
Pelantikan Chuah, 55, berkuat kuasa pada 15 Sept 2026.
Chuah kini bertanggungjawab mengawasi kewangan dan operasi PCCO Group, merangkumi pelaporan kewangan, pengauditan, usaha wajar, pematuhan cukai, perundingan serta perkhidmatan berkaitan sumber manusia.
Beliau mempunyai pengalaman profesional lebih 31 tahun dan memegang beberapa lesen di Malaysia, termasuk sebagai juruaudit berdaftar yang diluluskan Kementerian Kewangan, juruaudit berdaftar bagi entiti kepentingan awam serta ejen cukai berlesen.
Chuah turut memiliki pensijilan profesional kelestarian daripada Global Reporting Initiative (GRI) dan Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan dengan Kepujian Kelas Kedua Atas dari University of Warwick, United Kingdom.
Beliau merupakan felo Institute of Chartered Accountants in England and Wales, akauntan bertauliah Malaysian Institute of Accountants serta ahli beberapa badan profesional perakaunan, percukaian dan tadbir urus korporat di Malaysia dan rantau ASEAN.
Turut menganggotai Lembaga Pengarah dua syarikat lain
Chuah juga kini menganggotai Lembaga Pengarah BP Plastics Holding Bhd dan Tokio Marine Life Insurance Malaysia Bhd.
Capital A memaklumkan bahawa beliau tidak mempunyai hubungan kekeluargaan dengan mana-mana pengarah atau pemegang saham utama syarikat serta tidak mempunyai konflik kepentingan dengan kumpulan itu.
Beliau memiliki kepentingan langsung sebanyak 243,000 saham biasa dalam Capital A. - DagangNews.com






