liza10/09/2026 - 10:32 Perjanjian penyewaan itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Anak Syarikat Hartanah Mah Sing, Dato’ Yeoh Chee Beng (kiri) dan Pengarah Eksekutif The Food Purveyor Group, Ivan Tan (kanan) Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 10 Sept – Mah Sing Group Berhad melantik Village Grocer sebagai penyewa utama di M Legasi, Semenyih menerusi pembukaan cawangan baharu pasar raya itu seluas kira-kira 19,000 kaki persegi yang disasarkan beroperasi menjelang akhir 2029.
Dengan keluasan kira-kira 19,000 kaki persegi dan 80 petak parkir, cawangan baharu itu dijangka mula beroperasi apabila lebih banyak kediaman di M Legasi siap dan mula dihuni.
Mah Sing menjangkakan kira-kira 817 rumah daripada fasa awal pembangunan itu akan siap dan diserahkan kepada pembeli pada tempoh tersebut dengan lebih 3,200 penduduk dijangka menetap di kawasan itu.
Perjanjian penyewaan itu ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif, Anak Syarikat Hartanah Mah Sing, Datuk Yeoh Chee Beng dan Pengarah Eksekutif The Food Purveyor Group, Ivan Tan di ibu pejabat Mah Sing di sini.
M Legasi Bernilai RM3.3 Bilion
M Legasi merupakan pembangunan perbandaran bersepadu terbesar Mah Sing di Lembah Klang meliputi kira-kira 202.3 hektar (500 ekar) dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM3.3 bilion.
Pembangunan itu dijangka mengambil masa lapan hingga 10 tahun dan merangkumi kira-kira 4,484 unit kediaman dalam tiga kawasan utama, iaitu Impira, Adiya dan Embun.
Apabila siap sepenuhnya dan mencapai penghunian penuh, M Legasi dijangka mempunyai kira-kira 18,000 penduduk.
Selain kediaman, pembangunan itu turut merangkumi kawasan komersial, sekolah, kemudahan awam, kemudahan sukan dan rekreasi, ruang hijau serta infrastruktur mobiliti.
Village Grocer Lengkapkan Keperluan Harian
Mah Sing merancang M Legasi berdasarkan konsep bandar 15 minit dengan kemudahan harian dan aktiviti riadah ditempatkan dalam jarak yang mudah diakses dengan berjalan kaki atau berbasikal.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Eksekutif Mah Sing, Datuk Voon Tin Yow berkata, kumpulan itu bukan hanya membina rumah, sebaliknya mahu menyediakan kemudahan yang dapat memenuhi keperluan penduduk apabila komuniti M Legasi berkembang.
Menurutnya, bagi pembangunan berskala besar seperti M Legasi, kemudahan komersial, rekreasi, sosial dan infrastruktur perlu disediakan secara berperingkat mengikut pertambahan penduduk.
“Kehadiran Village Grocer akan memberikan pilihan kepada penduduk untuk mendapatkan barangan keperluan harian tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada kawasan di luar M Legasi,” katanya dalam satu kenyataan.
Kerjasama Kedua Mah Sing Dan Village Grocer
M Legasi menjadi kerjasama kedua Mah Sing dengan Village Grocer selepas kedua-dua syarikat sebelum ini bekerjasama dalam pembangunan M Amaya di Batu Maung, Pulau Pinang.
Pembukaan Village Grocer di M Legasi juga dapat memenuhi keperluan penduduk sekitar Semenyih seperti Bandar Tasik Kesuma, Bandar Rinching dan Eco Majestic. - DagangNews.com


