CapitaLand Perluas Sokongan Komuniti, 2,250 Terima Manfaat Menerusi #GivingBersama 5.0

LocalBusiness & Finance
12 Aug 2026 • 8:01 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

KUALA LUMPUR – Daripada bantuan keperluan asas dan kelengkapan pendidikan kepada pemeriksaan kesihatan percuma, CapitaLand terus memperluas pendekatan membantu komuniti yang kurang mendapat perhatian di Malaysia menerusi program #GivingBersama 5.0.

Inisiatif komuniti utama CapitaLand itu berhasil menyalurkan bantuan bernilai kira-kira RM200,000 dalam bentuk barangan keperluan harian dan kelengkapan pendidikan kepada sekitar 2,250 penerima manfaat di seluruh negara, termasuk kanak-kanak kurang bernasib baik, rumah anak yatim serta keluarga berpendapatan rendah.

Usaha tersebut turut mendapat pengiktirafan apabila CapitaLand dinobatkan sebagai Syarikat Terbaik Tahunan bagi Penjagaan Komuniti dan Impak Lestari dalam kategori pusat beli-belah pada Anugerah Kelestarian & CSR Malaysia 2026.

Ini adalah kali keempat CapitaLand menerima pengiktirafan berkenaan secara berturut-turut, sekali gus mencerminkan komitmen jangka panjang syarikat dalam memperkaya kehidupan masyarakat dan mewujudkan impak sosial yang berkekalan.

Dianjurkan menerusi CapitaLand Hope Foundation, cabang filantropi Kumpulan CapitaLand, #GivingBersama 5.0 turut menghimpunkan rakan komuniti dan industri bagi menyediakan sokongan dalam aspek penjagaan kesihatan, kesejahteraan serta keperluan asas kepada keluarga yang memerlukan.

Pengarah Urusan, Runcit, CapitaLand Investment (Malaysia), Selina Ng berkata, pengiktirafan itu mencerminkan usaha bersama kakitangan, penyewa, rakan kongsi dan sukarelawan yang telah menjayakan pelbagai inisiatif komuniti CapitaLand selama bertahun-tahun.

“Kami berbesar hati menerima pengiktirafan ini pada Anugerah Kelestarian & CSR Malaysia 2026. Pengiktirafan ini mencerminkan komitmen CapitaLand dalam menyokong komuniti yang kami santuni serta usaha bersama kakitangan, penyewa, rakan kongsi dan sukarelawan yang telah menjayakan pelbagai inisiatif komuniti kami sejak bertahun-tahun lalu.

“Menerusi #GivingBersama 5.0 serta kerjasama kami dengan organisasi yang berkongsi aspirasi yang sama, kami telah memperluaskan sokongan bukan sahaja dalam bentuk bantuan keperluan asas, malah merangkumi inisiatif penjagaan kesihatan, kesejahteraan dan pemerkasaan komuniti yang membantu meningkatkan kualiti hidup keluarga yang memerlukan,” katanya.

Image from: CapitaLand Perluas Sokongan Komuniti, 2,250 Terima Manfaat Menerusi #GivingBersama 5.0

Jelas beliau, kerjasama berterusan itu membolehkan CapitaLand memberi impak yang lebih bermakna serta menyokong kesejahteraan komuniti seluruh negara.

“CapitaLand telah menyokong pembangunan komuniti di Malaysia selama lebih sedekad.

“Sejak 2011 dengan sokongan CapitaLand Hope Foundation, syarikat telah menyumbang lebih RM2.8 juta kepada pelbagai inisiatif komuniti yang memberi manfaat kepada lebih 18,300 penerima di seluruh negara,” katanya. 

Getaran difahamkan, lebih 210 sukarelawan daripada kalangan kakitangan CapitaLand telah menyumbang hampir 1,740 jam khidmat sukarelawan menerusi pelbagai program komuniti di seluruh negara sepanjang tahun lalu. 

Bagi edisi 2025, #GivingBersama 5.0 berlangsung dari 16 Oktober hingga 20 November 2025, dengan menggerakkan sukarelawan CapitaLand untuk membantu hampir 680 keluarga berpendapatan rendah serta 220 kanak-kanak daripada komuniti yang kurang mendapat perhatian.

Usaha terbabit dilaksanakan menerusi kerjasama dengan Unit Mutiara Food Bank, Pulau Pinang dan pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat di Kuala Lumpur, Kuantan dan Johor.

Program berkenaan turut memperluaskan jangkauannya menerusi penglibatan rakan industri.

Buat julung kalinya, Big Pharmacy menyertai #GivingBersama 5.0 sebagai rakan strategik dengan menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma kepada keluarga B40, bertujuan meningkatkan kesedaran kesihatan serta akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan asas.

Adventist Hospital Penang pula menawarkan saringan kesihatan percuma, manakala NSK Grocer menyumbangkan barangan keperluan harian dan Little Scoop meraikan keluarga di Lembah Klang dengan menawarkan aiskrim yogurt percuma.

Pada masa sama, penerima manfaat berpeluang menyertai pengalaman bazar komuniti ikonik CapitaLand yang diadakan di dewan komuniti sekitar Lembah Klang dan Kuantan, serta di Gurney Plaza.

Berbeza daripada bantuan yang sekadar disalurkan kepada penerima, bazar berkenaan memberi peluang kepada keluarga terlibat memilih sendiri pelbagai barangan diperlukan, termasuk barangan runcit, hasil segar, snek berkhasiat dan kelengkapan pendidikan.

#GivingBersama 5.0 merupakan sebahagian daripada kempen #GivingAsOne CapitaLand yang menghimpunkan kakitangan, penyewa, rakan perniagaan dan pelanggan di seluruh pasaran operasinya bagi memperkasa komuniti yang memerlukan.

Pada 2025, lebih 17,000 sukarelawan di 14 negara telah menyumbang lebih 100,000 jam khidmat sukarelawan, sekali gus memberi manfaat kepada lebih 130,000 individu di seluruh dunia.

Anugerah Kelestarian & CSR Malaysia 2026 pula mengiktiraf organisasi yang menunjukkan kepimpinan dalam bidang kemampanan dan tanggungjawab sosial korporat, selain memberikan impak bermakna kepada komuniti yang mereka santuni.

Pengiktirafan terbaharu itu mengukuhkan lagi komitmen CapitaLand untuk mengintegrasikan kemampanan dalam operasinya serta mewujudkan impak sosial positif menerusi penglibatan komuniti yang bermakna. - Getaran, 12 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved