USIM perkenal kursus Quran Isyarat, perluas akses pendidikan Islam kepada OKU

24 Jul 2026 • 12:56 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: USIM perkenal kursus Quran Isyarat, perluas akses pendidikan Islam kepada OKU

NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mencipta sejarah apabila menjadi universiti pertama di negara ini menawarkan kursus pengajaran Quran Isyarat, sekali gus memperkukuh usaha memperluas akses pendidikan al-Quran kepada komuniti orang kurang upaya (OKU) pendengaran.

Inisiatif itu dilaksanakan menerusi Kursus Kompetensi Pengajaran Quran Isyarat Tahap 1 anjuran Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI), USIM dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS).

Seramai 27 Pegawai Tadbir Agama Bahagian dan Pegawai Pengislaman Bahagian Saudara Kita JAIS dari seluruh Sarawak menyertai kursus yang memberi penekanan kepada pembangunan kompetensi tenaga pengajar dalam kemahiran membaca serta mengajar Quran Isyarat.

Pengarah UMMI, Prof Madya Dr Norakyairee Mohd Raus, berkata usaha itu bertujuan memastikan penyampaian ilmu al-Quran kepada komuniti OKU pendengaran, termasuk golongan mualaf, dapat dilaksanakan secara lebih sistematik, berkesan dan inklusif.

Menurut beliau, pembangunan Quran Isyarat adalah antara agenda strategik USIM bagi memastikan komuniti OKU pendengaran memperoleh peluang sama untuk mempelajari, memahami dan menghayati al-Quran melalui pendekatan yang memenuhi keperluan mereka.

“UMMI membangunkan ekosistem Quran Isyarat secara menyeluruh meliputi penyelidikan, pembangunan modul, latihan kompetensi, inovasi dan pemindahan ilmu kepada pelbagai agensi di seluruh negara,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, kerjasama strategik USIM dan JAIS diharap dapat memperluaskan pelaksanaan pengajaran serta pembelajaran Quran Isyarat di Sarawak, sekali gus melahirkan lebih ramai tenaga pengajar yang mampu menjadi penggerak dakwah inklusif kepada komuniti OKU. – KOSMO! ONLINE

The post USIM perkenal kursus Quran Isyarat, perluas akses pendidikan Islam kepada OKU appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved