
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Penyanyi rap dan aktivis terkenal, Caprice menafikan dirinya gagal membayar kos mahkamah berjumlah RM8,000 seperti yang dilaporkan beberapa agensi berita sebelum ini
Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli tampil menerusi satu hantaran video di akaun media sosial miliknya menjelaskan bahawa pihaknya tidak tahu mengenai kos terbabit.
Kos mahkamah memang ada, cuma Caprice tidak tahu
Menurut Caprice, kos mahkamah tersebut sememangnya ada dan telah disahkan oleh peguamnya, namun mereka tidak mengetahuinya.
“Apabila Cap mesej peguam yang kendali macam-macam kes Caprice, mereka pun terkejut, kos mahkamah itu memang wujud.
“Tetapi kebanyakan kes termasuk kes yang kita ada, kos itu akan dikira pada hujung selepas jatuh hukum,” katanya.
Bagaimanapun, Caprice berkata dia tidak boleh mendedahkan kos mahkamah terbabit melibatkan kes apa kerana terdapat injunksi.
Cap tunjuk koleksi patung figura cecah lebih RM8,000 jika mahu disita
Caprice pada masa turut tidak menolak kemungkinan pihak di sebelah sana telah datang ke rumah atau pejabatnya sewaktu ketiadaannya untuk memberitahu tentang kos yang perlu dibayarnya itu.
Namun Caprice berkata, dia juga tidak menerima apa-apa mesej mahupun e-mel berhubung perkara itu.
Penyanyi rap berkenaan turut bersedia sekiranya aset miliknya ingin disita dengan menunjukkan beberapa pantung figura dengan jumlah keseluruhan mencecah lebih RM8,000.
View this post on Instagram
Mahkamah Tinggi didakwa arah penyitaan aset milik Caprice
Semalam (21 Januari), berita melaporkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan penyitaan aset milik Caprie selepas gagal membayar kos berjumlah RM8,000 kepada seorang ahli perniagaan dalam kes saman fitnah.
Di dalam laporan itu, writ penyitaan dan penjualan bertarikh 3 Disember 2025 dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftaran Qasiratul Jannah Usmani Othman terhadap Caprice susulan perintah yang diperoleh oleh ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat perkapalan Datuk Seri R Jeyenderan.
Jumlah terhutang itu merangkumi RM8,000 yang dianugerahkan melalui perintah mahkamah bertarikh 15 Oktober 2025 bersama-sama alokatur RM320 yang dikira setakat 20 November tahun sama.
Writ itu membenarkan penyitaan dan jika perlu, penjualan harta alih milik Caprice selaku defendan untuk melangsaikan hutang penghakiman itu.
2 bailif mahkamah cuba laksanakan writ di kediaman Caprice tapi pintu tidak dibuka
Peguam Muniandy Vestanathan dan Afiq Yahawa yang mewakili ahli perniagaan itu, mengesahkan bahawa dua bailif mahkamah cuba melaksanakan writ itu di kediaman Caprice di Mont Kiara pada 10 pagi hari ini, yang turut disertai pengawal keselamatan kompleks pangsapuri itu.
Bagaimanapun, pelaksanaannya tidak dapat dilakukan kerana tiada pihak yang membuka pintu selepas loceng dibunyikan beberapa kali selain pengurusan pangsapuri memaklumkan defendan telah berpindah selepas tempoh penyewaannya tamat pada tahun lepas.
Baca Artikel Berkaitan: Mahkamah Perintah Caprice ‘Archive’ 31 Hantaran Fitnah Terhadap Asyraf Khalid
Baca Artikel Berkaitan: Selepas Caprice Dakwa Jemput ‘Kaki Pukul’, Apa Cerita? Podcast Mohon Maaf & Batalkan Siar Episod Minggu Ini
Baca Artikel Berkaitan: Polis Ajak Wanita ‘Check In’ Tampil Mohon Maaf Selepas Caprice Aturkan Pertemuan [Video]

