Cari ayam jumpa ular sawa

12 Mar 2023 • 2:03 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Anggota bomba menangkap ular sawa tersebut yang ditemui di bawah timbunan daun. - Foto: JBPM

image is not available
Ular sawa seberat kira-kira 80 kg ditangkap selepas ditemui di bawah timbunan daun dekat Kampung Rantau Panjang pada Sabtu. - Foto: JBPM

TEMERLOH - Seorang penduduk dikejutkan dengan kehadiran seekor ular sawa seberat kira-kira 80 kilogram (kg) di Kampung Rantau Panjang dekat Lanchang di sini pada Sabtu.

Muhammad Ikhwan Abd Razak, 29, berkata, kehadiran reptilia itu dimaklumkan rakannya sebelum dia menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan.

"Rakan saya jumpa ular tersebut selepas mencari ayamnya yang hilang sebelum membuat panggilan telefon kepada saya selepas ternampak ular terbabit.

"Malah sebelum ini penduduk ada mengadu tentang kehilangan dua ekor anak lembu kira-kira sebulan lalu dan saya percaya ular sama yang menelan haiwan ternakan terbabit," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Sementara itu, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mentakab, Zamzam Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 6.47 petang.

Menurutnya, empat anggota dan seorang pegawai dikerahkan ke tempat kejadian.

"Sebaik tiba mendapati ular sawa sepanjang lima meter itu berada di bawah timbunan daun dan anggota terlibat menggunakan penjerut menangkap reptilia terbabit.

"Ular itu kemudiannya berjaya ditangkap dan dilepaskan jauh daripada kawasan penempatan penduduk," katanya.